Wednesday, May 10, 2006

Hadith Yang Menjadi Hujah Ahli Tarekat

Berikut adalah hadith-hadith yang sering digunakan di kalangan ahli tarekat kesufian khusus untuk menyokong segala pemahaman atau amalan mereka yang berlainan daripada amalan yang biasa kita amalkan. Hadith-hadith ini menjadi hujah bagi mereka untuk membuktikan bahawa wujudnya ilmu khas yang membicarakan soal hati dan merekalah yang menguasai ilmu rahsia dan batin ini.

Contoh-contoh yang diberikan di sini juga membuktikan bahawa kebanyakan ahli tarekat dan tasawuf tidak memberikan penumpuan terhadap pengkajian hadith. Ini menyebabkan mereka menggunakan hadith-hadith yang dhaif dan palsu dalam penulisan dan percakapan mereka. Sikap ini perlu diubah kerana Islam ditegakkan dengan hujah yang sahih dan bukan hadith-hadith yang tidak dipastikan kebenarannya.

Saya juga menyebut di sini hadith-hadith dhaif dan palsu yang mungkin disalah anggap sebagai hadith sahih lalu dijadikan hujah untuk membenarkan perbuatan ahli tarekat kesufian yang melampau.


Ilmu itu ada dua: Ilmu di mulut yang menjadi hujah Allah ke atas hambaNya; dan ilmu hati, itulah ilmu yang bermanfaat – Hadith ini diriwayatkan oleh al Hakim al Tirmidzi (bukan Imam al Tirmdizi yang terkenal itu). Al Iraqi dalam al Mughni (takhrij hadith Ihya’ Ulumiddin) telah menyatakan bahawa hadith ini tidak bersambung sanadnya maka ia adalah dhaif. (al Mughni – hadith no.136)

Manusia semuanya mati kecuali orang yang berilmu, orang berilmu semuanya mati kecuali orang yang beramal, orang beramal semuanya mati kecuali orang yang ikhlas dan orang yang ikhlas itu berada pada kedudukan yang amat terancam – hadith ini adalah palsu seperti kata al Shoghoni. (Silsilah al Ahadith al Dhaifah – hadith no.76).

Ada ilmu yang tersembunyi dan hanya diketahui oleh orang yang berilmu tentang Allah. Apabila mereka menceritakannya kepada umum, mereka akan ditentang oleh orang-orang yang tertipu daripada mengenali Allah – hadith riwayat Abu Abd. Rahman al Salmi dalam buku al Arba’un al Sufiyyah dan lain-lain lagi. Ia adalah sangat dhaif kerana terdapat pelbagai kecacatan dari segi sanad. Ia dinyatakan sebagai dhaif oleh al Mundziri dan al Iraqi. (Silsilah al Ahadith al Dhaifah – hadith no.870).

Cinta dunia punca segala dosa – hadith palsu riwayat al Baihaqi dalam Syu’ab al Iman dan lain-lain lagi. Hadith ini dinyatakan oleh al Baihaqi bahawa ia bukan hadith yang benar-benar datang daripada Rasulullah SAW. Ia juga dinilai sebagai hadith palsu oleh al Suyuthi, al Munawi dan Ibn Taimiyyah. (Silsilah al Ahadith al Dhaifah – hadith no.1226).

Berhati-hatilah dengan firasat mukmin, sesungguhnya dia melihat dengan cahaya Allah – hadith ini riwayat al Tirmidzi dan lain-lain lagi. Di dalam sanadnya terdapat periwayat yang dhaif dan juga dengan kecacatan lain. Malah al Tirmidzi sendiri menyebut ia sebagai hadith yang gharib. Istilah ‘gharib’ sering digunakan oleh al Tirmidzi untuk mengisyaratkan kepada kedhaifan sesuatu hadith. (Silsilah al Ahadith al Dhaifah – hadith no.1821).

Sesiapa yang beramal dengan apa yang dia tahu, Allah akan berikannya ilmu yang dia belum tahu – riwayat Abu Nu’aim dalam Hilyatul Auliya’ dan lain-lain lagi dengan sanad yang palsu. Al Iraqi juga menolak kesahihan hadith ini dalam takhrij Ihya’ Ulumiddin. Abd. Fattah Abu Ghuddah juga menolak kesahihan hadith ini dalam semakannya terhadap buku ‘Risalatul Murstarsyidin’ karya al Muhasibi. (al Mughni – hadith no.168 dan Silsilah al Ahadith al Dhaifah – hadith no.422).

Menunggu dengan kesabaran apabila ditimpa musibah itu adalah ibadah (tidak berusaha) – hadith palsu riwayat al Qudhoi dalam Musnad al Shihab dan lain-lain lagi. (Silsilah al Ahadith al Dhaifah – hadith no.1572).

Dunia haram ke atas ahli akhirat, akhirat pula haram ke atas ahli dunia, dunia dan akhirat haram ke atas ahlullah (mereka tidak mahu syurga, mereka hanya mahu keredhaan Allah) – riwayat al Dailami dan lain-lain lagi. Ia adalah hadith palsu. (Silsilah al Ahadith al Dhaifah – hadith 32).

Hendaklah kamu semua bersedih kerana ia adalah kunci hati. Para sahabat bertanya: Bagaimanakah cara untuk bersedih? Maka dijawab oleh Baginda: tahanlah diri kamu daripada makan dan jadikanlah diri kamu sering dahaga – riwayat al Thabarani dan lain-lain. Hadith ini mengandungi periwayat yang dhaif. (Silsilah al Ahadith al Dhaifah – hadith no.1468).

Kisah Nabi Ibrahim ketika ditangkap dan ingin dimasukkan ke dalam api, Jibril datang kepadanya lalu menyuruhnya berdoa kepada Allah, tetapi Ibrahim tidak mahu kerana baginya Allah telah tahu keadaannya – Hadith palsu sebagaimana kata Ibn Arraq. (Silsilah al Ahadith al Dhaifah – hadith no.21). bagi sesetengah tarekat, mereka menganggap bahawa berdoa itu tanda kurang keyakinan terhadap Allah!

Hadith – tentang solat sunat tertentu yang tidak ada di dalam hadith-hadith sahih seperti solat sunat Nisfu Syaaban, solat sunat Rejab (kedua-duanya dilabelkan sebagai bid’ah oleh al Nawawi dan ulama lain), solat sunat hari Ahad, Isnin dan seterusnya, solat malam Ahad, Isnin dan seterusnya (al Iraqi telah mengkaji dan memutuskan bahawa solat-solat hari dan malam sepanjang minggu adalah hadith-hadith yang palsu dan dhaif, tiada yang sahih) dan bermacam-macam lagi solat sunat seperti solat sunat Raghaaib (solat pada jumaat pertama bulan Rejab) dan lain-lain lagi. Solat sunat mestilah diambil daripada hadith-hadith sahih, bukan hadith palsu atau dhaif. (al Bid’ah wa Atharuha al Sayyi’ ‘Ala al Ummah, Salim al Hilali).

Banyakkanlah berzikir sehingga orang akan mengatakan kamu gila – hadith riwayat al Hakim, Ahmad dan lain-lain lagi. Sanadnya mengandungi periwayat yang dhaif. (Silsilah al Ahadith al Dhaifah – hadith no.517).


Semoga mereka yang mengikuti tarekat berhati-hati ketika menemui hadith-hadith yang digunakan oleh guru tarekat mereka atau disebut dalam buku-buku tarekat dan tasawuf.

Di samping itu, mereka juga perlu melihat huraian hadith-hadith sahih daripada buku-buku huraian hadith seperti Fathul Bari huraian Sahih al Bukhari karya Ibn Hajar al Asqalani, al Minhaj huraian Sahih Muslim karya al Nawawi, Aun al Ma’bud huraian Sunan Abu Daud karya al Azhim Abadi dan lain-lain lagi. Jangan sesekali mengabaikan huraian para ulama hadith terkenal lantas terus menggunakan tafsiran ‘rahsia’ atau ‘batin’ terhadap setiap hadith. Contohnya kisah Rasulullah SAW menerima wahyu di GuaHira’ sememangnya sahih, tetapi ada tarekat yang menjadikannya dalil untuk mereka bertapa atau bersuluk di dalam gua dan tempat terpencil bagi mendapatkan ilmu daripada Allah SWT. Begitu juga kisah Rasulullah SAW dibedah dadanya oleh para malaikat dijadikan hujah bagi mereka untuk membuat pembedahan rohani di tangan guru-guru tarekat dengan amalan-amalan yang khusus. Begitu juga mereka mengambil contoh kehidupan para sahabat yang miskin sedangkan terdapat para sahabat yang kaya dan berharta tidak diketengahkan. Insya Allah, saya akan cuba menulis pada masa akan datang tentang ayat-ayat Al Quran dan hadith-hadith sahih yang disalah tafsir oleh ahli tarekat dan dijadikan hujah untuk mereka bagi mempromosikan tarekat masing-masing.

Secara mudah, saya menasihati sesiapa sahaja supaya menyemak dahulu kesahihan sesuatu hadith, kemudian mempelajari maksud hadith tersebut sebelum beramal dengannya.


Semoga tulisan ringkas ini bermanfaat untuk pembacanya, insya Allah.

Kesilapan Sebahagian Ahli Tarekat

Berikut adalah contoh-contoh kesilapan sebahagian ahli tarekat kesufian:


1.Rasa hati, mimpi dan ilham sebagai hujah atau dalil dalam syariat Islam

Di dalam Islam, rasa hati dan ilham bukan sumber dalam menentukan yang baik dan yang salah. Ia juga bukan dalil dalam menentukan hukum sesuatu amalan sama ada benar atau salah. Hukum tertinggi dalam Islam ialah Al Quran dan hadith sahih. Itulah yang menjadi pegangan kita dalam menjalani kehidupan sebagai seorang muslim. Kalau diikutkan rasa hati, sudah pasti ukuran seseorang manusia dan penilaiannya berbeza dengan manusia lain. Pernah beberapa orang sahabat Rasulullah SAW memandang sesuatu perkara sebagai baik, tapi Rasulullah SAW membetulkan mereka dan menjelaskan bahawa baik atau tidak adalah berasaskan hukum syariat dan bukan perasaan mereka.

Contohnya seperti Abdullah Ibn Umar yang tidak menerima kata-kata Rasulullah SAW tentang puasa. Rasulullah SAW menyatakan bahawa had yang paling kerap untuk berpuasa sunat ialah seperti puasa Nabi Daud alaihissalam yang berpuasa dan berbuka secara berselang. Abdullah Ibn Umar menyatakan bahawa beliau boleh melakukan yang ‘lebih baik’. Maka Rasulullah SAW menjawab: ‘Tiada lagi yang lebih baik’. (Hadith riwayat al Bukhari no.1976 dan Muslim no. 2786).

Contoh lain ialah kisah tiga orang lelaki yang bertanyakan kepada isteri Rasulullah SAW tentang ibadah Rasulullah SAW. Ketiga-tiga lelaki itu telah nekad untuk melakukan amalan yang lebih bertujuan untuk menjadi orang yang soleh. Seorang ingin berpuasa setiap hari, seorang lagi ingin solat tahajjud setiap malam atau sepanjang malam dan seorang lagi tidak mahu berkahwin kerana tidak ingin diganggu untuk beribadah. Rasulullah SAW menegur mereka dan menyuruh mereka mengikut cara Baginda iaitu berselang seli ketika berpuasa, bertahajjud pada sebahagian malam sahaja dan juga berkahwin. (Hadith riwayat al Bukhari no.5063).

Satu lagi contoh ialah seorang lagi sahabat Nabi SAW yang dipanggil dengan nama Abu Israil melakukan satu bentuk ibadah yang pelik: berpuasa, di tengah panas terik, sambil berdiri dan tidak bercakap dengan sesiapa pun. Maka Rasulullah SAW menyuruhnya supaya bercakap, mencari tempat teduh, duduk dan menyempurnakan puasanya. (Hadith riwayat al Bukhari no.6704).

Tiga contoh ini menunjukkan bahawa Islam merupakan sumber rujukan dan bukannya rasa hati, ilham, akal dan sebagainya. Persoalan dosa pahala, benar salah, afdhal atau tidak adalah persoalan yang memerlukan kepada dalil daripada Al Quran dan hadith sahih. Tiga contoh ini juga menjadi bukti bahawa Islam ini mudah dan memudahkan. Tidak seperti fahaman ahli tarekat yang menyatakan bahawa ibadah mesti dilakukan dengan cara yang seolah-olah menyusahkan, menyiksa atau memberatkan untuk mendapat pahala yang lebih.

Mimpi juga bukanlah satu sumber dalam menentukan hukum atau menentukan kebenaran atau kebatilan. Mimpi manusia biasa seperti kita tidak sama nilainya seperti mimpi para Nabi dan Rasul yang merupakan wahyu. Namun begitu masih kita dapati ahli tarekat yang menjadikan mimpi sebagai sumber ilmu dan seringkali berlaku percanggahan antara dalil Al Quran dan hadith dengan mimpi-mimpi tersebut. Sekiranya semua orang boleh menggunakan mimpi, maka bercanggahlah amalan dan ilmu antara seorang muslim dengan muslim yang lain. Oleh sebab itu, Al Quran dan hadith sahih merupakan dalil yang menjadi rujukan utama agar semua umat Islam dapat bersatu di bawah kebenaran yang bersumberkan wahyu.


2-Ketaatan mutlak pada syeikh tarekat

Kaedah yang mudah untuk kita memahami cara mentaati makhluk ialah sebuah hadith sahih daripada Rasulullah SAW yang bermaksud: ‘Tidak ada ketaatan pada makhluk pada perkara maksiat terhadap Allah SWT’. (Hadith riwayat Ahmad no.1077 dengan sanad yang disahihkan oleh al Albani), dan sebuah lagi hadith yang bermaksud: ‘Tidak ada ketaatan pada perkara maksiat, ketaatan hanya pada perkara ma’ruf (dibenarkan syarak)’. (Hadith riwayat al Bukhari no.7257 dan Muslim no.4871).

Sebahagian ahli tarekat diajar supaya mentaati syeikh dalam usaha atau perjalanan mereka untuk membersihkan jiwa mereka. Mereka diajar supaya berada di hadapan syeikh seolah-olah satu mayat di hadapan orang yang memandikannya. Mereka juga diajar bahawa sesiapa yang bertanya ‘kenapa’ kepada syeikhnya, dia tidak akan berjaya dalam membersihkan jiwanya. Syeikh mesti ditaati kerana syeikh tahu apa ubat untuk penyakit hati setiap muridnya. Hakikatnya, para pembaca perlu tahu bahawa pemilihan guru tarekat adalah secara warisan dan dipilih oleh guru tarekat sebelumnya. Maka pemilihan ini akan dibuat berdasarkan ‘ketaatan’ dan ‘kesetiaan’. Inilah yang berlaku pada hampir kesemua tarekat kesufian. Saya pernah berbual dengan orang-orang yang terlalu taksub kepada syeikh masing-masing dan saya dapati merekalah yang berlebih-lebih dalam mempertahankan sebarang kekurangan yang ada pada syeikh mereka. Imam Malik telah berpesan bahawa ‘setiap orang boleh diterima dan ditolak pendapat mereka kecuali Rasulullah SAW’. Pesanan sebegini tidak ada di dalam kebanyakan tarekat.

Satu hakikat penting yang perlu diketahui bersama ialah syeikh-syeikh kebanyakan tarekat tidak mempunyai ilmu yang mendalam berkaitan Al Quran dan hadith, tetapi mereka mempunyai ilmu yang mendalam tentang istilah-isitilah kesufian dan mahir dalam mempraktikkan cara yang telah diwarisi daripada syeikh-syeikh sebelumnya. Maka ketaatan kepada golongan sebegini perlulah diikat dengan Al Quran dan hadith. Mana-mana perbuatan yang dilakukan oleh syeikh mestilah dinilai sebelum diterima atau diikuti. Terdapat sesetengah tarekat yang menganggap bahawa syeikh tahu segala-galanya dan setiap gerak-gerinya adalah mengikut syarak walaupun di mata kita syeikh tersebut melanggar syarak, itu hanyalah pandangan zahir semata-mata. Anggapan ini adalah salah kerana kita mengukur semua manusia dengan amalan zahir yang telah dijelaskan sempadannya dan batasannya oleh Al Quran dan hadith sahih.


3-Pembahagian Islam kepada Syariat dan Hakikat dan Ilmu Ladunni

Satu lagi perkara yang sering disebut-sebut di kalangan orang-orang tarekat kesufian ialah kebolehan mereka memahami Hakikat sedangkan orang-orang lain termasuklah sesiapa yang mempelajari Islam secara bermetod dan bermanhaj hanya memahami Syariat. Syariat bagi mereka adalah zahir manakala hakikat ialah batin. Pembahagian ini mengandungi perkara yang agak pelik iaitu: Hanya orang-orang tarekat dan ahli tasawuf sahaja yang akan berjaya mengorek rahsia ilmu hakikat. Kemampuan mereka bukan bergantung kepada ilmu atau kemahiran tetapi kepada martabat atau maqam mereka yang akan mereka sampai padanya melalui latihan zikir dan pembersihan hati.

Ahli tarekat akan berjaya melihat kepada dimensi Hakikat apabila hati mereka bersih dan ini melibatkan satu lagi permasalahan iaitu : mereka diajar terus secara lansung oleh Allah SWT. Walaupun tidak semua tarekat mempunyai kepercayaan sebegini, tetapi kebanyakan ahli tarekat akan bercakap soal ‘ilmu ladunni’ iaitu ilmu yang diajar kepada ahli zikir dan ahli tarekat dan sumbernya terus daripada Allah.

Saya pernah berbual dengan seorang pengamal tarekat dan dia berkata bahawa Allah akan mengajarnya ilmu agama seperti mana Allah mengajar semua manusia cara mereka merangkak seterusnya berjalan. Apabila saya bertanya kepadanya kenapa dia tidak tahu berbahasa Arab, dia menjawab bahawa Allah belum lagi mengajarnya Bahasa Arab. Lihatlah kepada pemikiran yang melucukan ini. Bagi mereka, ilmu keduniaan perlu dipelajari dengan metodologi dan usaha. Tetapi ilmu agama adalah proses yang merupakan kurniaan daripada Allah tanpa perlu bersusah payah menuntut ilmu daripada para ulama.

Mereka suka membandingkan diri mereka dengan para Nabi dan Rasul yang dikurniakan wahyu. Sedangkan tiada lagi Nabi dan Rasul selepas Rasulullah SAW. Ahli tarekat yang begini pendapatnya akan menafsirkan Islam ini dengan dua sifat atau dua bentuk: Syariat atau Hakikat. Apabila menafsirkan Al Quran, akan ada tafsir zahir dan tafsir batin. Apabila menafsirkan maksud hadith, akan ada maksud zahir dan maksud batin. Terdapat juga kata-kata yang sering ditemui di kalangan ahli tarekat iaitu: sesiapa yang melihat perbuatan ahli tarekat dengan mata Syariat akan marah tetapi sesiapa yang melihat dengan mata Hakikat akan setuju. Maksudnya, mungkin pada mata kita seorang ahli tarekat melakukan perkara yang salah atau berdosa. Namun itu hanyalah pada pandangan mata Syariat. Mata Hakikat akan melihat bahawa mereka melakukan satu perkara baik seolah-olah mereka berada di alam lain.


4- Bentuk Zikir yang berlainan dengan cara Rasulullah SAW dan para sahabat

Satu lagi perkara yang menghairankan ialah kebanyakan tarekat mempunyai cara zikir yang berbeza dengan cara yang ditemui di dalam hadith-hadith Rasulullah SAW dan juga kisah hidup para sahabat. Mereka berzikir dalam majlis yang agak tersembunyi daripada orang ramai, berzikir dengan cara yang agak pelik seperti berzikir dengan suara terlalu lantang, berzikir sambil bangun dan berdiri, berzikir sambil membuat pusingan dalam kumpulan, berzikir sambil menari, berzikir dengan diiringi kompang dan tepukan, berzikir dalam gerak badan yang terlalu kasar, berzikir sampai pengsan atau terjatuh dan sebagainya. Semuanya ini tidak dilakukan oleh Rasulullah SAW atau para sahabat.

Lihatlah hadith-hadith yang menceritakan keadaan Rasulullah SAW dan para sahabat berzikir dan hadith-hadith itu termaktub di dalam buku-buku hadith seperti Sahih al Bukhari, Sahih Muslim dan lain-lain lagi. Kenapa ahli tarekat masih melakukan zikir dengan cara yang berlainan dengan cara Rasulullah SAW? Bukankah mereka menyatakan bahawa mereka mengikut cara yang dibawa oleh Rasulullah SAW? Bukankah mereka mendakwa bahawa cara zikir dan lafaz zikir yang mereka amalkan kebanyakannya diambil daripada para sahabat?

Zikir adalah ketenangan, tetapi dalam tarekat kesufian,zikir seumpama latihan fizikal yang sukar dibuat dalam keadaan tenang. Zikir adalah mengingati Allah, tetapi dalam sesetengah tarekat kesufian, zikir bagi mereka adalah hilang ingatan, pengsan dan sebagainya. Cara terbaik ialah cara Rasulullah SAW. Cara itulah yang diwarisi oleh generasi terbaik iaitu para sahabat. Cara itu ialah berzikir dalam keadaan sedar, penuh fokus dan juga tidak keterlaluan dan penuh ketenangan. Zikir yang dilakukan oleh para sahabat juga adalah zikir menggunakan lafaz yang diajar oleh Rasulullah SAW. Tetapi para ahli tarekat sesetengahnya kita dapati mereka berzikir dengan lafaz yang tidak diajar oleh Rasulullah SAW seperti zikir Allah, Allah, Allah atau Hu, Hu, Hu, atau zikir dengan sajak-sajak atau syair-syair guru mereka. Inikah cara terbaik dalam berzikir? Para pembaca boleh menilai dengan baik, insya Allah.


Semoga bertemu lagi dalam tulisan akan datang, insya Allah.

Ahli Tarekat Kenapa Allergic Dengan Kajian Sanad

Kenapa agaknya saya membuat kesimpulan seperti yang anda baca dalam tajuk artikel ini? Berikut adalah sebab-sebabnya:


1-Kebanyakan tarekat mempromosikan tarekatnya dengan dakwaan bahawa tarekat yang mereka ada diambil turun-temurun daripada orang terdahulu sama seperti ahli hadith meriwayatkan hadith. Tetapi apabila dikaji, ternyata dakwaan mereka mengandungi beberapa maksud. Antara maksud mereka dengan sanad ialah mereka mengambilnya secara ‘ijazah’ sanad sampailah kepada pengasas tarekat tersebut. Maka sanad zikir atau sanad tarekat hanya terhenti kepada guru mereka dan bukannya sampai kepada Rasulullah SAW seperti yang disangka ketika kita mendengar perkataan ‘sanad’. Oleh sebab itu, mereka tidak suka atau allergic dengan kajian sanad seperti yang dilakukan oleh pengkaji hadith dulu dan kini.


2- Maksud kedua penggunaan sanad di kalangan ahli tarekat ialah mereka mendakwa bahawa zikir dan amalan khusus tarekat mereka benar-benar diambil daripada sahabat Rasulullah SAW. Sekiranya benar sanad itu sahih dan benar-benar terbukti amalan tarekat mereka bersumberkan daripada salah seorang sahabat Rasulullah SAW, itu tidak sama dengan amalan yang bersumberkan daripada Rasulullah SAW sendiri. Tapi ternyata setelah dikaji mengikut kajian sanad, ternyata dakwaan mereka juga tidak tepat kerana sanad yang digunakan itu tidak mencukupi syarat yang diletakkan mengikut kajian hadith. Maka sanad itu terputus atau mengandungi periwayat-periwayat yang dhaif atau tidak dikenali.

3- Satu lagi keadaan ialah mereka mempunyai sanad yang sampai kepada Rasulullah SAW yang mana sekiranya ia sahih, maka mereka memang mempunyai hujah yang kuat kerana amalan tarekat itu adalah amalan Rasulullah SAW. Malangnya setelah dikaji, ternyata sanad yang mereka bawa itu tidak sempurna dan tidak sahih. Pelik juga bila difikirkan hadith yang sahih daripada Rasulullah SAW tetapi tidak ditemui dalam buku-buku hadith terkemuka, sebaliknya ditemui dalam tarekat-tarekat tertentu yang tidak popular. (Hasil ulasan Muhaddith masa kini, Syeikh Syuaib al Arnaouth ketika penulis menuntut di Jordan).


4- Satu lagi hakikat yang menyebabkan mereka allergic dengan kajian sanad ialah kebanyakan ulama-ulama atau periwayat-periwayat daripada kalangan ahli tasawuf kadangkala tidak diterima sebagai periwayat hadith yang thiqah (dipercayai dengan maksud ingatannya baik serta akhlaknya juga baik).


5- Satu masalah lain yang menyebabkan ahli tarekat allergic dengan kajian sanad ialah mereka terpaksa menolak hadith-hadith yang pernah disebut dalam buku-buku tarekat atau pernah disebut oleh syeikh-syeikh tarekat. Disebabkan mereka terlalu menyanjung tinggi syeikh-syeikh mereka, maka mereka menjadi berat untuk menerima kajian sanad yang dibentangkan dengan hujah dan bukti. Menerima kajian sanad sebegini akan menyebabkan mereka menegur pula pendapat yang telah lama berakar umbi dalam tarekat masing-masing. Ini satu lagi masalah yang besar kerana kebanyakan tarekat mengajar pengikutnya supaya taat tanpa berbelah bahagi kepada syeikh masing-masing dan jangan menegur mereka disebabkan mereka telah sampai ke tahap yang tinggi.


6- Untuk itu kita mendapati kenyataan yang pelik dibuat oleh mereka yang terpengaruh dengan aliran tarekat dalam usaha mereka untuk menolak kajian hadith oleh para ulama hadith. Kenyataan pelik itu ialah wujudnya satu pengkajian hadith yang berbentuk ‘kasyaf’ atau ‘ilham’ dan tidak menggunakan bukti atau hujah. Inilah jalan keluar untuk mereka menggunakan hadith-hadith dhaif atau palsu sebagai hujah dalam penulisan atau ucapan. Penapisan hadith berbentuk ‘kasyaf’ menjadikan syeikh-syeikh yang tinggi maqamnya berupaya untuk mengenal pasti dan membezakan di antara hadith-hadith sahih atau tidak hanya dengan melihat lafaz hadith. ‘instinct’ atau ‘sixth sense’ mereka akan memberitahu mereka sama ada hadith-hadith itu sahih atau dhaif atau palsu. (Kalau para pembaca ingin tahu tentang kewujudan ‘penapis kasyaf’ ini, tanyalah kepada orang-orang tarekat atau bacalah muqaddimah buku ‘Kasyfu al Khafa’ oleh al ‘Ajluni. Baca juga ulasan oleh Abd. Fattah Abu Ghuddah ketika menyemak buku ‘al Mashnu’ Fi Ma’rifat al Hadith al Maudhu’ karya Ali al Qari).


7- Satu lagi masalah besar yang menjadi jalan keluar para ahli tarekat apabila bertembung dengan kajian sanad ialah ‘Yaqazhah’. Penulis berharap akan ada usaha daripada mana-mana penulis yang mampu untuk mengkhususkan satu artikel ilmiah atau satu buku khusus tentang ‘Yaqazhah’ di kalangan ahli tarekat. Fahaman ‘Yaqazhah’ ini terus mengenepikan asas-asas kajian hadith di mana mereka mendakwa bahawa syeikh mereka boleh berkomunikasi secara ‘direct’ dengan Rasulullah SAW lalu boleh menerima ijazah selawat khas atau hadith baru! Lihatlah bagaimana mereka berjaya lari daripada kajian sanad dengan dakwaan yang amat tidak berasas! Persoalan berjumpa dengan Rasulullah SAW secara jaga dan menerima pula hadith-hadith baru tidak pernah berlaku kepada para sahabat yang mulia dan hebat seperti Abu Bakr, Umar dan lain-lain lagi. Ia juga tidak pernah berlaku kepada para ulama fiqh dan hadith terkemuka seperti ulama-ulama tabi’in, imam-imam mazhab terkenal seperti Abu Hanifah, Malik, al Syafie dan Ahmad. Tetapi ia berlaku pula kepada imam-imam tarekat kesufian. Ini menunjukkan dengan jelas bahawa perkara ini adalah satu jalan keluar kerana mereka ‘allergic’ dengan kajian sanad.


Elok juga difikirkan di hujung tulisan ini (yang merupakan luahan pemikiran dan hati saya, bukannya sebuah artikel yang berformat), kenapa ada beratus-ratus tarekat kesufian di negara-negara Arab, Afrika dan Asia. Adakah semuanya mempunyai sanad yang menghasilkan pelbagai bentuk zikir dan ibadat?


Maafkan saya sekiranya ada yang tersinggung dengan hakikat yang saya nyatakan dalam tulisan ini.