Monday, October 09, 2006

Ajaib Golongan Sufi Dan Tarekat

Kisah-kisah ajaib ini adalah sambungan terhadap beberapa kisah ajaib yang telah disiarkan dalam ahkam.net sebelum ini. Maklumat di dalam artikel ini saya ambil daripada buku Haqiqat al-Sufiyyah Fi Dhau’ al-Kitab wa al-Sunnah – Dr. Muhammad Ibn Rabi’ – Universiti Islam Madinah dan buku al-Toriqah al-Naqsyabandiyyah – Abd. Rahman Dimasyqiyyah – www.frqan.com.

Sebelum kita mengikuti beberapa kisah ajaib, elok kita mulakan dengan pendapat seorang ulama al-Azhar, Muhammad Abu Zahrah dalam bukunya ‘Ibn Taimiyyah’. Menurut beliau, kemunculan tasawwuf adalah berasal daripada beberapa punca yang berbeza iaitu:

1-Kecenderungan sebahagian ahli ibadat daripada kalangan umat Islam ke arah zuhud dan beribadah sepenuh masa. Ia bermula sejak zaman Rasulullah SAW lagi apabila ada sebahagian sahabat yang ingin beribadah sepenuh masa lalu mereka dilarang oleh Rasulullah SAW seperti di dalam hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim yang menceritakan tentang kisah tiga orang sahabat yang datang ke rumah Rasulullah SAW untuk bertanyakan kepada isteri Rasulullah SAW tentang ibadah baginda.

Setiap seorang daripada mereka telah berazam untuk melakukan ibadah melebihi yang dituntut oleh syariat iaitu berpuasa setiap hari, tidak berkahwin dan juga tidak tidur malam untuk solat sunat. Maka Rasulullah SAW melarang mereka dan menyatakan bahawa baginda sendiri tidak melakukan ibadah ke tahap yang demikian. Namun setelah baginda wafat, zaman seterusnya menyaksikan kecenderungan sebegini muncul kembali.

2-Pemikiran ahli falsafah yang menganggap bahawa ilmu itu akan datang ke dalam hati disebabkan kita melakukan beberapa amalam rohani dan teknik pengawalan diri.

3-Konsep bahawa tuhan akan menghuni diri seseorang yang bersih hatinya. Konsep ini berasal daripada agama Kristian yang kita sedia maklum. Maka timbullah gerakan-gerakan ‘batiniyyah’ yang membawa pemikiran dan konsep songsang ini dalam bentuk atau pakaian tarekat sufi.

4-Pemikiran songsang yang menyatakan bahawa terdapat maksud zahir bagi setiap nas sama ada daripada Al-Quran atau hadith.

(Haqiqat al-Sufiyyah – m/surat 13 hingga 15)

Berikut adalah beberapa kisah ajaib / pelik yang saya temui (di dalam dua buku rujukan untuk artikel ini) berserta sumber asal kisah tersebut:

1-Kata-kata Muhammad Uthman al-Sufi dalam buku al-Hibat al-Muqtabasah bahawa di antara adab-adab seorang murid bersama syeikh tarekat ialah: duduk di hadapannya seperti duduk dalam solat, jangan duduk di atas hamparan syeikh, jangan berwudhu’ daripada bekas wudhu’nya, dan ingatlah pesanan orang-orang suci: ‘sesiapa yang berkata kepada syeikhnya ‘kenapa?’ dia tidak akan berjaya’.

2-Menurut Ibn ‘Arabi dalam bukunya al-Fusus: dan seseorang yang sempurna hatinya akan melihat setiap sembahan manusia itu adalah jelmaan daripada Allah sama ada batu, pokok, haiwan, manusia, bintang, malaikat dan lain-lain lagi.

3-Al-Damamini menghidupkan burung yang sudah pun dimasak sebagai hidangan (al-Kawakib al-Durriyyah, al-Munawi)

4-Al-Kilani ketika memakan daging ayam yang telah dimasak meletakkan tangannya ke atas ayam itu dan berkata: bangunlah dengan izin Allah. Maka ayam itu bangun. (al-Kawakib al-Durriyyah, al-Munawi)

5-Salah seorang murid Abu Yusuf al-Dahmani telah kematian anaknya. Maka Abu Yusuf telah menghidupkannya kembali. (al-Kawakib al-Durriyyah, al-Munawi)

6-Pada suatu hari, syeikh al-‘Ajmi telah memandang kepada seekor anjing lalu dengan tiba-tiba anjing itu menjadi tumpuan semua anjing yang datang meminta hajat. Setelah anjing itu mati, semua anjing lain datang menziarahi kuburnya sehinggalah mereka juga mati. Maka al-Sya’rani telah berkata: itulah apa yang berlaku setelah beliau memandang kepada seekor anjing, maka bagaimanakah pula sekiranya beliau memandang kepada manusia?!. (Tobaqaat, Sya’rani – biodata al-‘Ajmi)

7-Sya’rani menyatakan bahawa beliau bersalam dengan syeikh Ahmad al-Badwi daripada dalam kuburnya apabila keluar tangan syeikh untuk bersalam dengannya. (Tobaqaat, Sya’rani – biodata al-Badwi)

8-Syeikh Ibrahim al-‘Uryan telah menaiki mimbar lalu berkhutbah dalam keadaan berbogel. (Tobaqaat, Sya’rani)

9-Seorang wali boleh memasukkan tangannya ke dalam poket mana-mana orang yang disukainya lalu mengambil beberapa dirham sedangkan orang itu tidak menyedarinya. (al-Ibriz, al-Dabbagh)

10-Seorang sufi bernama Abu Turab menyatakan bahawa melihat syeikhnya iaitu Abu Yazid al-Bastami lebih baik daripada 70 kali melihat Allah. (Ihya’ ‘Ulumiddin, al-Ghazali).

11-Kaabah telah keluar dari tempat asalnya dan akan pergi menziarahi kubur-kubur para wali atau pun menziarahi para wali yang masih hidup. Peristiwa ini dikatakan pernah berlaku pada Ibn Arabi (Jami’ Karamat al-Auliya’, al-Nabhani).

12-Seorang syeikh bernama Muhammad al-Ma’shum menceritakan bahawa ketika dia pergi haji, malaikat datang membawa surat bahawa hajinya telah diterima oleh Allah. Kaabah pula datang memeluknya dan ketika di Madinah, Rasulullah SAW keluar dari kuburnya dan memeluknya. (al-Hadaiq al-Wirdiyyah)

14-Syeikh Baha’uddin telah mengambil zikir khafiy (zikir senyap) daripada syeikh Abd. Qadir al-Ghajduwani yang telah meninggal dunia dengan cara memasuki kuburnya. (al-Mawahib al-Sarmadiyyah).

15-Syeikh Baha’uddin pernah berkata kepada seorang lelaki ‘matilah engkau’ maka matilah lelaki itu. Lalu beliau berkata pula ‘hiduplah engkau’, maka hiduplah lelaki itu sedikit demi sedikit. (Jami’ Karamat al-Auliya’).

Begitulah sebahagian lagi kisah ajaib dan pelik daripada sebahagian…sebahagian…sebahagian…tarekat sufi dan para pengikutnya. Sengaja saya ulang perkataan ‘sebahagian’ tiga kali untuk memahamkan orang-orang yang mungkin melatah lalu menyatakan ‘tarekat aku tak macam tu!’. Alhamdulillah tarekat anda tidak begitu. Ada pun bagi sebahagian tarekat, mereka menerima kisah ajaib dan pelik ini.