Wednesday, August 09, 2006

Tariqat Naqsyabandiah

Tariqat Naqsyabandiah Al-Aliyyah Syeikh Nazim Al-Haqqan

( Ajaran Tariqat Sesat dan telah diharamkan oleh JAKIM)

Keputusan Fatwa Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam

a)Tariqat Naqsyabandiah Al-Aliyyah di bawah pimpinan Syeikh Nazim bertentangan dengan fahaman akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah dan menyeleweng dari ajaran Islam. Pengamal ajaran ini hendaklah segera bertaubat.

b) Semua negeri dikehendaki memfatwa dan mewartakan bahawa tariqat Naqsyabandiah Al-Aliyyah di bawah pimpinan Syeikh Nazim diharamkan dan tidak boleh diamalkan oleh umat Islam kerana ia bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar

Oleh : Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-48

Tarikh Keputusan : 3 April 2000

Tarikh Muzakarah : 3 April 2000 hingga 3 April 2000

Ciri-ciri Kesesatan Tariqat Naqsyabandiah Al-aliyyah Syeikh Nazim Al-Haqqani :-



1)- Kekuatan wali.

Petikan dari laman web tariqat Naqsyabandiah

“Terdapat 40 awliya Allah yang tersembunyi di antara Mudzalifah dan Mina. Mereka membantu kepada sesiapa yang dalam kesusahan. 313 berada di Madinah. Di Mekah terletak kerusi kerohanian Yang di Pertuanya (gabenor) di sebelah Hajaratul Aswad. Beliau berada di situ untuk menyaksi siapa yang mencium batu tersebut.

Yang di Pertua gabenor Mekah itu mengarah wali-wali Allah yang lain membuat apa yang dikehendaki oleh beliau. 124,000 awliya Allah menunaikan haji setiap tahun. Tanpa kehadiran mereka, haji manusia lain tidak lengkap. Imam Mahdi (as) juga harus hadir setiap tahun menunaikan haji. Dan di Jabarul Rahmah di Arafah merupakan tempat Imam Mahdi akan muncul pada masa yang akan datang.

Sahabat kita Hanim, ialah seorang yang suka merendahkan diri dan juga pemurah. Hanim tidak peduli tentang kekayaan, tentang berapa kekayaan yang beliau ada. Beliau sentiasa memberi tanpa mengira. Beliau telah banyak berkorban untuk Allah, Rasul (saw) dan awliya Allah. Sifat beliau adalah jarang didapati pada masa kini. Semasa pengkebumian beliau, terlalu ramai para wali Allah dan malaikat berada menghadiri upacara itu. Sekarang ini beliau berada di satu tempat di mana Allah sentiasa melihatnya.

Tidak seorang pun akan memahami apa yang Allah telah kurniakan kepada Hjh. Hanim. Ramai akan menyesal asal kesalahan mereka terhadap beliau – samada melalui prasangka atau perbuatan. Ramai akan memerlukan pertolongan beliau di akhirat kelak. Hanim telah pergi sebagai seorang shaheeda.

Wa minallahi taufiq. Bi huramati habib bi hurmati surah Fatihah”



2- Kuasa Mutlak Khalifah

"Khalifah mentadbir wilayah-wilayahnya. Dia mempunyai kuasa untuk melakukan apa yang dimahu. Apa yang dia lakukan dipersetujui oleh masyaikh rantaian keemasan...Kemulian xxxxxxxx ialah dia adalah seorang khalifah dan semua orang harus menerima apa yang dia telah tentukan..."

Sheikh Muhammad Sheikh Nazim

3)-Khutbah sesat menyentuh konsep waktu, suluk, hakikat dsb

Audhubillah-hi-minash-syaitan-nir-rajeem Bismillah-hir-rahman-nir-rahim Nawaitul arbaa, naiwatul iqtiqaf, naiwataul uzlah, naiwatul ri’adah, lillahita’ala hilaluyul azim Ati’ullah, wa ati’u rasul, wa ulul amri minkum

Allah perintah kita ta’at kepada Dia dan Rasulnya (saw) dan sesiapa yang ta’at kepada Rasul (saw), dia ta’at kepada Allah. Setiap keadaan/saat adalah keadaan/saat yang baru dan setiap sessi adalah sessi yang baru. Keadaan/saat hanyalah sekadar keadaan/saat, tetapi apabila keadaan/saat dikumpul mereka menjadi waktu. Mereka mengeluarkan waktu yang telah berlalu. Oleh yang demikian, waktu adalah (mengikut kefahaman kita) sesuatu yang mempunyai waktu yang lepas, waktu sekarang dan waktu yang akan datang.

Terdapat tiga dimensi di dalam waktu (begitu juga universe ini) – waktu lampau, waktu sekarang dan waktu akan datang. Apabila kita mati, waktu berakhir. Tetapi bagi Allah, tidak ada zone waktu. Waktu sebenrnaya di hasilkan oleh pergerakan bumi sekeliling matahari. Disebakan oleh pergerakan atau orbit ini, maka terdapatlah siang dan malam – semuanya untuk membolehkan kita mengetahui waktu, yang pada haqiqatnya memberi petanda kepada kita bahawa ajal akan datang.

Apabila Sheikh Abdullah Daghestani (qs) diperintah untuk bersuluk, masa atau waktu bagi dia tidak ada makna. Di dalam suluk, seseorang itu mungkin tidak akan kembali ke dunia lagi. Semasa lima tahun bersuluk, beliau hanya hidup dengan tujuh biji zaitun dan sekeping roti sehari sehaja. Apabila awliya Allah memasuki suluk, mereka sedar bahawa waktu berpoya-poya sudah tamat, yang ada hanyalah berkerja keras.

Sheikh Abdullah (qs) berusia 18 tahun abapila beliau mulai suluk. Amalan yang dilakukan semasa bersuluk ialah membaca Quran dan berzikir. Awliya Allah apabila mengerjakan ibadat tersebut sentiasa mahu memanjangkan waktu tersebut (bagi kita manusia awam, kita mahu memanjangkan waktu untuk memenuhi nafsu kita). Bagi dia waktu bukanlah sesuatu yang perlu di hitung. Mereka sentiasa berada di “waktu sekarang.” Oleh yang demikian, kita perlu selalu merenungi dalaman kita dan pasti kita akan menjumpai “rumah” kita.

Di dalam renungan dalaman kita akan menemui haqiqat, iaitu dimensi kerohanian yang tidak ada batasan waktu. Dan di dalam dalaman ini kita akan jumpa “rumah” kita. Di dalam qalb manusia terletaknya “rumah” Allah. Maka carilah haqiqat tersebut di dalam diri kita. Ia terdapat dalam diri kita.

Terdapat 6 jenis haqiqat – haqiqat jazbah, haqiqat tawajuh, dsb), kesemuanya ini terdapat di dalam kita. Tetapi kesemuanya itu hanya boleh diberi kepada mereka yang boleh dipercayai. Mereka ini tidak mudah di nodai oleh perasaan bongkak, megah dan sebaigainya. Mereka dapat bertahan dengan segala bentuk dugaan dan sentiasa memuji Allah di dalam segala bentuk keadaan.

Allah sentiasa memberi kita keadaan/saat yang baik. Jadilah seorang yang sentiasa bersyukur. Selalu pegang kepada keadaan/saat tersebut.

Dunia yang kita tahu ini akan berakhir. Sesetengah kita akan pergi dahulu daripada berakhirnya dunia ini.Oleh yang demikian kenapa kita sering mengejar dunia (yang di cipta)? Kejarlah si Pencipta. Di alam hadrat ilahi waktu tidak ada erti – kita akan dengar bunyi-bunyian seperti ombak di lautan atau gauman harimau. Jadilah seperti ikan di dalam lautan

Ini adalah nasihat untuk malam ini yang datang daripada Maulana Sheikh Nazim (qs). Saya berniat untuk memberi suhbah daripada nota-nota Sh. Abdullah (qs), tetapi mereka telah mengubah cadangan saya.

Jangan dengar kepada diri yang menyuruh cintakan dunia ini. Dengarlah kepada roh yang suruh mencintai akhirat. Carilah benda-benda yang kekal. Makan makanan kerohanian – ianya tidak akan habis, ianya suci dan bersih.

Moga Allah merahmati kita semua malam ini dan kita tujukan segala kebaikan pada malam ini kepada sahabat kita Hanim. Moga Allah mencucuri roh beliau dengan rahmatNya. Roh Hanim bersama kita pada malam ini. Beliau gembira di mana beliau berada sekarang.

Moga kita disambut oleh para awliya Allah apabila kita meninggalkan dunia ini. Moga Allah merahmati Maulana Sh. Abdullah (qs) dan Maulana Sh. Nazim (qs). Allah panjangkan usia Maulana Sh. Nazim (qs). Wa minallahi taufiq. Bihurmati habib bihurmati surah fatihah

4)-Mengagungkan kubur (berdoa kepada kubur, mencium kubur, menghiaskan kubur )





Maqam-maqam mahaguru tareqat Naqshbandi yang terdapat di Bukhara. Dari kiri maqam Sheikh Muhammad Baha'uddin Shah Naqshband, Sheikh Muhammad Baba as-Samasi, Sheikh Amir Kulal dan Arif ar-Riwakri.

5)-Khutbah sesat menggunakan hadis yang direka tentang cerita seorang ‘wali’ Allah (yang melakukan suluk hanya di bulan Rejab dan bermaksiat di bulan-bulan lain) . Di sini nabi s.a.w., malaikat Jibril dan Sayyidina Abu Bakar dihina, perlakuan maksiat digalakkan dan kuasa suatu doa yang boleh menjadikan seseorang sebagai wali!!! ( dipetik dari laman web tariqat Naqsyabandiah)

“ Satu ketika di zaman Nabi S.A.W, terdapat seorang perompak jalanan yang terkenal. Setiap selepas tengah malam, dia akan menangkap dan merompak sesiapa sahaja yang ditemuinya berjalan berseorangan. Kadang-kala, dia akan memukul dan membunuh orang yang dirompaknya. Selepas merompak, dia terus pulang ke rumah. Tidak ada seorang pun yang mampu menangkap lelaki tersebut. Disebabkan kekejamannya, Nabi S.A.W telah berkata dengan perasaan marah tentang lelaki tersebut: “orang tu jahat, jika dia meninggal, aku tidak akan menyembahyangkan dan mengkebumikannya di tanah perkuburan orang Muslim”.

Selepas beberapa tahun, lelaki tersebut meningggal dunia. Dia mempunyai seorang anak perempuan. Malangnya, anak perempuannya tidak menemui seorang pun yang boleh membantunya menguruskan jenazah ayahnya. Disebabkan Nabi S.A.W pernah mencela perbuatan ayahnya- tidak akan menyembahyangkan dan mengkebumikannya di tanah perkuburan orang Muslim, budak-budak nakal telah membawa jenazah tersebut melalui jalan Madina dan membuangnya ke dalam sebuah perigi kosong serta kering.

Sebaik sahaja jenazah itu dibuang, Allah telah berfirman kepada Nabi Muhammad S.A.W dan berkata, “Ya Habibi ya Muhammad! Wahai kekasih Ku Nabi S.A.W, hari ini seorang daripada wali Ku telah meninggal dunia. Kamu mesti pergi dan memandikannya, mengkafankannya, menyembahyangkkanya serta mengkebumikannya.”

Nabi S.A.W terkejut, sepanjang hidupnya dia telah mencela lelaki tersebut. Sekarang apabila lelaki tersebut meninggal dunia, Allah memberitahu baginda bahawa lelaki tersebut sebenarnya adalah wali-Nya. Bagaimana dia boleh menjadi wali? Sesungguhnya tidak ada seorang pun yang dapat mencampuri urusan pengetahuan Allah, walaupun Nabi S.A.W. Jika Allah mahu menjadi seorang perompak sebagai wali-Nya, tidak boleh sama sekali kita bertanya “KENAPA?” Kita mesti menerimanya.

Oleh sebab itu, mengikut ajaran Sufi dan ajaran di dalam tarekat Naqshbandi, kita mesti melihat orang disekeliling kita adalah lebih baik daripada kita. Kita tidak tahu jika Allah akan menaikkan makam seseorang kepada makam yang lebih tinggi daripada makam kita; Siapa tahu? Tidak akan ada seorang pun yang akan tahu, oleh yang demikian janganlah kita mencampuri urusan-Nya.

Jangan memandang rendah kepada orang jika kita merasakan kita lebih baik daripada mereka. Kita tidak tahu sama ada orang tersebut, pada pandangan Allah adalah wali ataupun tidak. Siapa yang tahu? Oleh yang demikian, kita perlu memandang tinggi kepada orang lain, menghormati mereka dan sentiasa merendahkan diri sendiri. Jangan sama sekali menunjukkan ego dan sentiasa berpuas hati.

Allah berkata kepada Nabi S.A.W, “Ya Rasulullah, pergi dapatkan dia dan bersihkan dia.” Dengan serta merta, Nabi S.A.W memanggil Saidina Abu Bakar as-Siddiq dan berkata, “Wahai Abu Bakar, kita perlu pergi dan dapatkan ‘lelaki’ tersebut. Abu Bakar berkata, “Ya Rasulullah, kamu pernah berkata yang kamu tidak akan mengkebumikan lelaki tersebut di tanah perkuburan orang Islam, dia bukan seorang muslim!” Nabi S.A.W berkata, “Tidak, tinggalkan persoalan Muslim. Allah memberitahuku hari ini yang lelaki tersebut adalah seorang wali!”

Apa yang telah dilakukan oleh perompak tersebut sepanjang hidupnya sehingga dia boleh menjadi seorang wali? Sepanjang hidupnya, dia telah membunuh, merompak dan mencuri. Nabi S.A.W pergi ke perigi tersebut, mengambil mayat lelaki tersebut dengan tangan baginda sendiri, dan membawanya pulang ke rumahnya dengan sahabat-sahabatnya.

Kemudian, baginda membersihkannya, memandikannya, mengkafankannya, menyembahyangkannya dan seterusnya membawa jenazah lelaki tersebut daripada masjid Nabi S.A.W. ke Jannat ul-Baqi. Jarak perjalanan dari masjid ke Jannat ul-Baqi ialah 15 minit jika berjalan kaki. Namun begitu, Nabi S.A.W mengambil masa lebih daripada dua jam untuk sampai dari tempat yang pertama ke tempat yang kedua. Semua sahabat-sahabat baginda berasa hairan apabila melihat cara rasulullah S.A.W. berjalan.

Dengan tangan baginda sendiri baginda telah membersihkan lelaki tersebut, memandikannya dan menyembahyangkannya. Semasa baginda membawa jenazah tersebut ke tanah perkuburan, baginda berjalan menggunakan jari kakinya (secara mengjinjat). Lantas sahabat-sahabat baginda bertanya, “Wahai Rasulullah, kenapakah engkau berjalan sedemikian?” Baginda menjawab, “Allah telah memerintahkan semua wali daripada timur dan barat, dan semua malaikat daripada tujuh syurga dan semua kerohanian hadir dan mengiringi jenazah ini. Mereka semua terlalu ramai dan memenuhi jalan, dan aku tidak mempunyai tempat untuk meletakkan kakiku. Sepanjang hidup aku, tidak pernah aku terkejut seperti hari ini.”

Selepas mengkebumikan lelaki tersebut, Nabi S.A.W tidak bercakap dengan sesiapapun sebaliknya baginda terus pulang ke rumah dengan badan yang terketar-ketar. Baginda duduk dengan Saidina Abu Bakar dan bertanya kepada diri baginda tentang apa yang telah dilakukan oleh wali tersebut; menjadi perompak sepanjang hidupnya tetapi mendapat pengiktirafan yang cukup tinggi dari Allah.

Saidina Abu Bakar berkata, “Wahai Rasulullah, aku berasa malu untuk bertanyakan tentang apa yang telah aku saksikan hari ini, ia sesuatu yang menghairankan.” Kemudian, Nabi S.A.W. menjawab,” Wahai Abu Bakar, aku lebih terkejut dari kamu, dan aku sedang menunggu kehadiran Jibril (s) dan memberitahuku apa yang telah berlaku”

Apabila Jibril (s) datang, Nabi S.A.W berkata,” Wahai Jibril, apakah yang sebenarnya berlaku?” Jibril (s) menjawab,” Wahai Nabi S.A.W., janganlah engkau bertanya aku. Aku juga hairan sepertimu. Oleh sebab itu, jangan berasa hairan kerana Allah boleh lakukan apa sahaja yang orang lain tidak dapat lakukan dan Dia memberitahu kamu untuk bertanyakan anak lelaki tersebut tentang apa yang telah dilakukannya semasa hayatnya.”

Dengan serta-merta dan ditemani oleh Saidina Abu Bakar, Nabi S.A.W. dengan sendirinya pergi ke rumah perompak tersebut. Nabi S.A.W. dengan rendah diri meletakkan kuasa dan statusnya sebagai manusia paling sempurna yang dicintai Allah pergi ke rumah perompak tersebut untuk bertanyakan apa yang telah dilakukan oleh ayahnya semasa hanyatnya: “Wahai anakku, sila ceritakan kepadaku bagaimanakah kehidupan ayahmu.” Anak perempuan lelaki tersebut berkata, “Wahai Rasulullah, aku begitu malu dengan apa yang akan aku ceritakan kepada kamu. Ayahku seorang pembunuh, seorang pembunuh.

Aku tidak pernah melihat dia melakukan sebarang kebaikan. Dia akan merompak dan mencuri siang dan malam kecuali satu bulan. Apabila bulan tersebut tiba, dia akan berkata: “Bulan ini adalah bulan tuhanku, kerana ayahku pernah mendengar engkau berkata, Rejab adalah bulan Allah, Sya’ban adalah bulan Nabi S.A.W. dan Ramadan adalah bulan umat Muhammad.” Kemudian ayahku berkata lagi, “aku tidak kisah dengan bulan Nabi S.A.W. atau bulan umat Muhammad, kecuali bulan tuhanku. Oleh sebab itu aku akan duduk di dalam bilikku bersendiriaan, dan bersuluk sepanjang bulan ini.

Nabi S.A.W bertanya kepada anak perempuan itu lagi, “Apakah jenis suluk yang dia telah lakukan?” Dia menjawab,” Wahai Rasulullah, satu hari ketika ayahku sedang berjalan untuk mencari seseorang yang boleh dirompaknya, dia bertemu dengan seorang lelaki tua yang berumur 70-80 tahun. Lantas ayahku memukulnya sehingga pengsan, dan kemudiannya merompaknya.

Dia menemui sehelai kertas kecil yang tergulung pada orang tua tersebut. Kemudian, dia membukanya dan mendapati di dalamnya ada satu doa. Ayahku amat gembira dengan doa tersebut. Setiap tahun, apabila datang bulan Rejab-bulan Allah , ayahku akan duduk bersendirian dan membaca doa tersebut siang dan malam, menangis dan membaca, kecuali keluar untuk makan dan membersihkan diri. Apabila bulan Rejab berakhir, dia akan bangun dan berkata, bulan Allah telah tamat, sekarang untuk menggembirakan ku aku akan kembali merompak dan mencuri untuk 11 bulan yang akan datang.

Doa (
Doa awliya’ Abbas) yang digunakan oleh lelaki tersebut adalah sangat penting dan kita dinasihatkan untuk membacanya 3 kali sehari ketika bulan Rejab. Maulana Sh. Nazim berkata doa ini mencuci semua dosa dan menjadikan kamu putih seperti bayi yang baru dilahirkan. Doa ini amat terkenal di dalam ajaran sufi. Apabila Nabi S.A.W meminta anak perempuan lelaki tersebut memberikan doa tersebut kepadanya, baginda terus mencium kertas doa tersebut dan menyapunya pada badan baginda. Jangan tinggalkan doa dan amalkannya ketika bulan ini datang, teruskan membacanya, dan Allah akan memberi kepada kita, Insyallah. Bergantung kepada niat masing-masing.

Allah telah berkata kepada Nabi S.A.W., “Wahai Nabi yang Kucintai, orang itu telah datang dan memohon keampunan dari Ku di dalam bulan yang sangat berharga. Oleh sebab itu, kerana dia berkorban sekurang-kurangnya satu bulan dalam setahun untuk Ku, Aku ampunkan semua kesalahannya, dan aku tukarkan semua dosanya kepada ganjaran. Kerana dia mempunyai terlalu banyak dosa, sekarang dia mempunyai banyak ganjaran, dan dia kini menjadi wali besar.” Kerana satu doa, Allah jadikan seseorang yang tidak pernah beribadat sepanjang hidupnya menjadi wali.”

Aqidah Falsafah

Ibnu Arabi telah mengukuhkan aqidahnya yang batil ini dengan dalil-dalil dan hujah-hujah yang ternyata mudah dipatahkan. Tetapi beliau dan kuncu-kuncunya sering mengelirukan orang ramai dengan mendakwa percakapan mereka tidak dapat difahami kecuali oleh sesiapa yang mempunyai perasaan dan citarasa yang sama serta mengenal makrifat mereka.

Sedangkan apa yang diperkatakan oleh Ibnu Arabi dan kuncu-kuncunya itu tidak lebih dari aqidah falsafah yang terdapat di dalam berpuluh-puluh buah buku falsafah. Seperti mana yang diketahui umum, aqidah falsafah itu mengandungi ajaran-ajaran yang boleh mengubah aqidah sebenar kaum muslimin mengenai Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang bersifat sempurna di dalam segala-galanya yang tidak diserupai oleh sesiapa dari kalangan makhluk-Nya, bahkan Dialah Allah Yang Maha Esa Lagi Tunggal, yang menjadi tumpuan segala permohonan, yang tidak beranak dan tidak diperanakkan, dan tiada suatu pun yang setanding dengan–Nya!


Sewaktu menjelaskan aqidahnya yang salah itu, Ibnu Arabi telah menggunakan sepotong hadith maudu’ “من عرف نفسه فقد عرف ربه” (barang siapa telah mengenal dirinya maka sesungguhnya ia telah mengenal tuhannya), dengan berkata: “Nabi a.s. telah bersabda: ”Barang siapa mengenal dirinya, maka ia mengenal tuhannya! Baginda adalah orang yang paling mengetahui tentang Allah. Para hukama’ dan Abu Hamid telah mendakwa mengenai tuhan tanpa melihat kepada alam ini adalah salah. Ya, anda telah mengenal zat Qadim yang azali. Anda tidak mengenal ianya tuhan melainkan sehingga dikenali yang dituhankan. Itulah dalilnya. Kemudian selepas ini, di dalam hal yang kedua, anda dikasyafkan bahawa al-Haq sendiri itulah yang menjadi dalil bagi dirinya dan ketuhanannya.

Alam ini hanyalah keserlahannya dalam bentuk-bentuk ain yang tetap yang mustahil berlaku kewujudannya tanpa keserlahannya itu. Keserlahannya berbagai-bagai dan berupa-rupa mengikut hakikat ain-ain tersebut dan keadaannya. Ini selepas kita tahu bahawasanya ia adalah tuhan bagi kita. Kemudian datang pula kasyaf yang lain yang melahirkan kepada anda bentuk-bentuk rupa kita pada-Nya. Maka lahirlah kita sesetengah kita pada pandangan setengah yang lain di dalam al-Haq, dan dengan itu kenallah kita satu sama lain.” (Fususul Hikam, halaman 81-82)

Di sini Ibnu Arabi telah menyangkal Imam al-Ghazali dan sesetengah ahli tasawwuf yang lain yang mengatakan bahawa mengenal al-Haq itu tidak disyaratkan memandang kepada alam buana, bahkan ia datang secara langsung melalui kasyaf tanpa bergantung kepada alam buana yang kelihatan di depan mata sebagai bukti Allah Subhanahu Wa Ta’ala penciptanya. Ibnu Arabi mengatakan cara ini hanya untuk mengenal zat Qadim yang azali sahaja. Untuk mengenal al-Haq, perlulah melalui perbuatan memandang alam buana, agar anda mengetahui apa yang anda saksikan itu ialah al-Haq.

Bentuk-bentuk rupa yang disaksikan di alam buana itulah sebenarnya al-Haq atau Allah, dan itulah buktinya, menurut Ibnu Arabi. Kemudian timbullah kasyaf yang lain di mana manusia itu sendiri merasakan dirinya sebagai satu daripada bentuk-bentuk rupa al-Haq. Pada ketika itu ia mengenal dirinya dan seterusnya mengenal tuhannya. Ia tahu dirinya itulah Allah dan seterusnya mengetahui Allah itu ialah setiap yang wujud!! Demikian kesimpulan Ibnu Arabi.

Selain dari itu Ibnu Arabi juga telah menjadikan kambing kibas yang diturunkan Allah untuk disembelih Nabi Ibrahim a.s. menggantikan anaknya Nabi Ismail a.s. itu sebagai Allah. (Fususul Hikam, halaman 84) Ini berdasarkan kepada aqidah wahdatul wujud yang batil itu. Bahkan ketelanjuran dan kebiadapan Ibnu Arabi begitu menjolok sehingga beliau tidak teragak-agak mendakwa bahawa al-Haq tidak dapat disaksikan dengan sepenuhnya dan tidak diketahui dengan sepenuhnya makrifat kecuali pada diri wanita ketika dalam kelazatan dan syahwat!! (Fususul Hikam, halaman 217-218)

Pendedahan mengenai aqidah Ibnu Arabi yang salah ini dibuat memandangkan kuncu-kuncunya dan penyokong-penyokongnya masih terus terdapat pada masa kini dengan menganggapkan penyeru-penyerunya sebagai wali-wali dan mengkafirkan sesiapa yang menentangnya. Adalah dibimbangkan mereka ini berjaya menyusup masuk di pusat-pusat yang bertanggungjawab dengan dakwah Islamiah di sesetengah negara Islam dan mencemari fikiran orang ramai dengan aqidah yang batil itu tanpa disedari.

Seksaan Neraka Suatu Kenikmatan!

Setiap orang yang beriman tentu takutkan seksaan api neraka dan merasa gerun mendengar mengenainya. Tetapi ternyata ianya tidak mendatangkan sebarang kesan kepada Ibnu Arabi yang bukan sahaja tidak mengendahkannya, sebaliknya menganggapnya suatu kenikmatan yang disediakan oleh Allah kepada mereka setaraf dengan kenikmatan syurga!! Api neraka itu adalah sebagai kulit yang menyembunyikannya, di belakangnya kenikmatan yang berkekalan bagi ahli neraka (Fususul Hikam, halaman 94).

Tetapi Ibnu Arabi juga ada menyebut, “Di antara hamba-hamba Allah ada yang mengalami kepedihan-kepedihan di dalam kehidupan yang lain di tempat yang dinamakan Neraka Jahanam. Namun begitu tiada seorang pun di kalangan ahli ilmu yang mengetahui perkara tersebut dapat mempastikan hamba-hamba Allah itu tidak mengalami kenikmatan yang di khususkan kepada ahli neraka, samada dengan kehilangan kepedihan yang mereka alami yang diangkat dari mereka, dan dengan itu kenikmatan mereka ialah kerehatan dari merasai kepedihan itu, atau kenikmatan itu suatu tambahan yang berasingan seperti nikmat ahli syurga. (Fususul Hikam, halaman 114)

Bagi Ibnu Arabi, api neraka itu adalah sejuk dan selamat bagi penghuni-penghuninya persis seperti api besar yang dinyalakan oleh Namrud untuk membakar Nabi Ibrahim a.s, tetapi menjadi sejuk dan selamat bagi Nabi Ibrahim a.s. Mengenai hal ini Ibnu Arabi menegaskan: “Adapun ahli-ahli neraka itu, maka nasib mereka adalah kenikmatan tetapi di dalam api neraka.

Kerana tentunya api neraka itu selepas tamat tempoh azab seksanya, ia menjadi sejuk dan selamat bagi sesiapa yang berada di dalamnya. Inilah kenikmatan mereka, iaitu kenikmatan selepas menyempurnakan hak-hak. Ahli neraka itu menghayati kenikmatan yang dirasai Nabi Ibrahim Khalilullah ketika dicampakkan ke dalam api yang sedang marak menyala. Ketika melihatnya, Nabi Ibrahim a.s. merasa terseksa berdasarkan pengetahuannya bahawa api itu suatu rupa bentuk yang menyakitkan bagi sesiapa saja yang mendekatinya dari kalangan yang hidup.” (Fususul Hikam, halaman 161)

Orang Kafir Dikatakan Beriman

Untuk mendedahkan lagi kemungkarannya, Ibnu Arabi mengakui pula kebenaran kaum Nabi Nuh a.s. yang sesat lagi berdosa itu, bahkan beliau menganggapkan semua orang kafir di muka bumi sebagai orang-orang yang beriman dan mentauhidkan Allah, juga sebagai golongan ‘arifin yang berhubungan secara langsung dengan Allah.

Sebaliknya pula beliau mendakwa orang-orang mukmin itu hanya beriman kepada sebahagian kebenaran sahaja dan kufur pada bahagian-bahagian yang lain. Ibnu Arabi juga tidak melupakan Firaun yang dikenali oleh dunia sebelum Ibnu Arabi sebagai manusia paling kafir dan paling zalim, tetapi Ibnu Arabi memasukannya di dalam golongan orang-orang mukmin yang mentauhidkan Allah serta memperolehi syurga. Mengenai hal ini Ibnu Arabi berkata antara lain:

“Oleh kerana Firaun memegang jawatan pemerintah maka dialah pemilik waktu. Dia seorang khalifah dengan kekuatan mata pedang walaupun ia jahat mengikut kebiasaan undang-undang, kerana itu ia berkata: “Aku tuhan kamu yang tertinggi”.


Andainya segala-gala itu merupakan tuhan-tuhan berdasarkan kepada sesuatu, tetapi aku adalah tuhan kamu yang tertinggi dari kalangan mereka, kerana pada lahirnya aku telah memberinya kuasa pemerintahan ke atas kamu, dan apabila ahli-ahli sihir mengetahui kebenarannya di dalam kata-katanya itu dan mereka tidak mengingkarinya bahkan menyetujuinya dengan berkata: “Sesungguhnya engkau memerintah kehidupan dunia ini, maka hukumlah apa yang engkau mahu hukumkan! Kerajaan itu kepunyaan mu”, maka betullah kata-kata itu: “Aku ialah tuhan kamu yang tertinggi”. (Fususul Hikam,halaman 210-211).

Kata-kata Ibnu Arabi ini setara dengan kata-kata al-Hallaj mengenai Firaun seperti mana yang telah disebutkan di dalam siri yang terdahulu. Ini membuktikan bahawa aqidah yang didakwakan oleh golongan bertasawuf itu adalah sama saja. Selain dari itu, seperkara lagi yang harus disedari pembaca ialah tentang keceluparan Ibnu Arabi menyebut bahawa Firaun itu khalifah dengan kekuatan mata pedang. Beliau telah menqiaskan Firaun sebagai “Khalifah” dengan lafaz khalifah di dalam firman Allah kepada Nabi Daud a.s. : “يَا دَاوُودُ إِنَّا جَعَلْنَاكَ خَلِيفَةً فِي الْأَرْضِ “ (Surah Shad, Ayat 26) Maksudnya lebih kurang: “Wahai Daud! Sesungguhnya kami telah menjadikan engkau khalifah di muka bumi.”

Sedangkan Khalifah Nabi Daud a.s. itu ialah khalifah kenabian dari kurniaan Allah, sementara Firaun ialah seorang raja yang terkenal zalim dan jahat di dalam sejarah pemerintahan negeri Mesir! Di samping itu Ibnu Arabi telah melebihkan syariat Nabi Musa a.s. itu sebagai “uruf” iaitu apa yang diketahui oleh Nabi Musa a.s. sahaja, tidak lebih dari itu. Kerana itulah sesetengah golongan bertasawuf menuduh Nabi Musa a.s. bersifat jahil, sebaliknya menganggapkan Firaun sebagai berilmu dan bermakrifat!

Berdasarkan kepada aqidah yang batil itu jugalah Ibnu Arabi membenari sikap as-Samiri dan tindakannya membuat patung anak lembu yang telah mempersonakan Bani Israel sehingga mereka menyembahnya sebagai ganti menyembah Allah! Ibnu Arabi telah menyalahkan Nabi Harun a.s. kerana dikatakan tidak mengenal al-Haq dan mengingkari perbuatan Bani Israel itu. Ibnu Arabi mendakwa bahawa Nabi Musa a.s. telah mengenal al-Haq dan mengancam as-Samiri kerana membataskan tuhan hanya kepada satu benda sahaja, Sedangkan ain sesuatu itu ialah ain tuhan itu sendiri, iaitulah Ain al-Haq! Mengenai ini Ibnu Arabi menegaskan:

“Kemudian Harun telah berkata kepada Nabi Musa a.s. : Sesungguhnya aku takut engkau akan berkata kepada aku : Engkau telah memecahbelahkan Bani Israel (seperti mana firman Allah di dalam surah Thoha, ayat 94 -penulis) dan engkau menjadikan aku sebagai penyebab pecah belah mereka. Sebenarnya penyembahan terhadap patung anak lembu itulah yang telah memecahbelahkan mereka. Di antara mereka ada yang menyembahnya mengikuti perbuatan as-Samiri dan menirunya. Ada yang tidak menyembahnya sehingga Nabi Musa a.s. datang semula kepada mereka dan mereka menanyakannya mengenai perkara itu. Harun a.s takut pecah belah mereka dikatakan berpunca darinya.


Nabi Musa a.s. lebih mengetahui perkara itu daripada Harun, kerana tahu apa yang disembah oleh penyembah-penyembah patung anak lembu itu. Sebab menurut pengetahuannya, Allah telah memerintahkan supaya tidak disembah melainkan Dia… Allah tidak memerintahkan dengan sesuatu melainkan ianya berlaku… kecaman Nabi Musa a.s. ke atas saudaranya Harun itu ialah kerana pengingkaran Harun terhadap perbuatan Bani Israel menyembah patung anak lembu dan kerana kekurangan pengetahuannya. Sesungguhnya orang yang arif itu ialah siapa yang melihat al-Haq pada segala sesuatu, bahkan melihatnya pada ain setiap sesuatu.” (Fususul Hikam, halaman 192).

Di sini jelas kepada para pembaca bahawa Ibnu Arabi mendakwa Nabi Musa a.s. mengetahui penyembah-penyembah patung anak lembu itu sebenarnya menyembah Allah kerana Allah telah berfirman : “وَقَضَى رَبُّكَ أَلاَّ تَعْبُدُواْ إِلاَّ إِيَّاهُ” (Surah Al-Isra’, Ayat 23) Maksudnya lebih kurang: “Dan Tuhanmu telah memerintahkan jangan kamu menyembah melainkan Dia.” Ibnu Arabi telah menjadikan perintah ini sebagai suatu perintah menyembah seluruh alam buana mengikut yang telah ditetapkan, dan bahawa Allah tidak memerintahkan dengan sesuatu melainkan ianya tetap berlaku. Menurut Ibnu Arabi, ini bererti bahawa setiap ma’bud (yang disembah) di muka bumi ialah Allah, dan manusia tidak menyembah sesuatu seperti batu atau sebagainya melainkan ia menyembah Allah dengan berdasarkan kepada lafaz “qada” yang bererti “telah memerintahkan” yang mana ini adalah hukum syarak!

Ibnu Arabi mengakhiri ungkapannya tadi dengan menyebut: “Orang yang arif ialah yang melihat al-Haq pada segala sesuatu bahkan melihatnya pada ain setiap sesuatu.” Inilah kemuncak aqidah tasawuf. Istilah “al-Haq” menurut dakwaan Ibnu Arabi dan konco-konconya ialah Allah sendiri!

Ibnu Arabi telah menghuraikan aqidahnya yang salah itu dengan menyelewengkan maksud firman Allah Ta’ala: “فَمَا خَطْبُكَ يَا سَامِرِيُّ” (Surah Thoha, 95) Maksudnya lebih kurang: “Bagaimana halmu, wahai Samiri?” Menurut Ibnu Arabi erti ayat ini ialah mengapa engkau khususkan anak lembu saja sebagai tuhan, sedangkan aqidah ini menganjurkan bahawa segala-gala itu ialah Allah? Kerana itulah Nabi Musa a.s. membakar patung anak lembu itu agar gambaran tuhan tidak terbatas pada satu benda sahaja! Nabi Musa a.s. telah berkata kepadanya: “وَانظُرْ إِلَى إِلَهِكَ” (Surah Thoha, ayat 97) Maksudnya lebih kurang: “Dan lihatlah kepada tuhanmu!” Nabi Musa a.s. menamakan patung anak lembu itu tuhan untuk menyedarkan as-Samiri dengan tujuan mengajarnya bahawa patung anak lembu itu ialah sebahagian dari gambaran-gambaran nyata Ilahi.” (Fususul Hikam, halaman 192)

Selepas memberikan tafsiran yang salah lagi menyesatkan mengenai cerita Nabi Musa a.s. dengan saudaranya Harun dan as-Samiri dengan patung anak lembu ciptaannya itu, Ibnu Arabi menyentuh pula perbuatan dan amalan kaum musyrikin Quraisy yang menyembah berhala dan patung-patung di Kota Mekah. Orang-orang kafir Quraisy itu telah memberi alasan terhadap perbuatan mereka tersebut seperti mana yang difirmankan oleh Allah: ” مَا نَعْبُدُهُمْ إِلَّا لِيُقَرِّبُونَا إِلَى اللَّهِ زُلْفَى” (Surah az-Zumar, Ayat 3) Maksudnya lebih kurang: “Kami tidak menyembahnya melainkan supaya menghampirkan kami kepada Allah dengan sehampir-hampirnya”. Ibnu Arabi mendakwa kaum musyrikin Quraisy itu tidak mengingkari Allah, sebaliknya mengkagumi-Nya.


Kerana mereka berdiri tegak bersama-sama dengan gambaran-gambaran dan rupa-rupa bentuk yang mereka namakan tuhan-tuhan. Beliau juga mendakwa Rasulullah s.a.w datang menyeru kaum musyrikin Quraisy itu menyembah tuhan yang dikenali dengan sifat-sifatnya sahaja, bukan yang boleh disaksikan dengan mata kepala! Kata Ibnu Arabi: “Dia (iaitu Rasulullah s.a.w) telah menyeru supaya disembah tuhan yang menjadi tumpuan segala permohonan dan yang diketahui secara ringkas, tidak boleh disaksikan dan tidak ditanggap pandangan.

Ia halus dan mengalir pada ain segala benda, tidak dapat ditanggap penglihatan. Ianya maha halus, lagi maha mengetahui. Pengetahuan itu adalah citarasa, dan citarasa itu ialah Tajalli (keserlahan), dan tajalli dalam rupa-rupa bentuk itu adalah suatu kemestian. Siapa yang melihatnya mesti menyembahnya dengan sepenuh keberahian, jika anda faham ………..” Kemudian dengan mengejek mereka yang tidak memahami kata-katanya itu Ibnu Arabi berkata: “Kepada Allah segala tujuan.” (Fususul Hikam, halaman 192)

Menukar Pengertian Ayat Al-Quran

Kelancangan Ibnu Arabi menukar pengertian sebenar ayat–ayat al-Qur'an berterusan tanpa tanda–tanda yang menunjukkan bahawa beliau melakukannya tanpa disengajakan. Mengenai firman Allah : “وَلَا تَزِدِ الظَّالِمِينَ إِلَّا ضَلَالاً” (Janganlah engkau tambahkan kepada orang-orang yang zalim itu melainkan kesesatan – Surah Nuh ayat 24), Ibnu Arabi mentafsirkannya sebagai “orang-orang yang zalim itu tidak menambahkan bagi diri mereka melainkan kehairanan.” (Fususul Hikam halaman 73)

Pada ayat seterusnya “مِمَّا خَطِيئَاتِهِمْ أُغْرِقُوا” (Surah Nuh, ayat 25, maksudnya lebih kurang: “Oleh kerana kesalahan–kesalahan mereka, lalu mereka ditenggelamkan”), Ibnu Arabi mentafsirkannya: “Dari yang telah digariskan bagi mereka, lalu kaum Nabi Nuh a.s. tenggelam di dalam samudera ilmu mengenai Allah.” (Fususul Hikam, halaman 33)

فَلَمْ يَجِدُوا لَهُم مِّن دُونِ اللَّهِ أَنصَاراً” (Surah Nuh, Ayat 25) Maksudnya lebih kurang: “Maka mereka tidak memperolehi penolong-penolong selain Allah.” Ibnu Arabi mentafsirkan: “Allah itulah penolong mereka, lalu mereka musnah padanya selama-lama.” (Fususul Hikam, halaman 33).

Mengenai doa Nabi Nuh a.s. seperti mana firman Allah: ” إِنَّكَ إِن تَذَرْهُمْ يُضِلُّوا عِبَادَكَ” (Surah Nuh, Ayat 27). Maksudnya lebih kurang: ”Sesungguhnya Engkau, jika meningggalkan mereka, nescaya mereka menyesatkan hamba-hamba Mu…… .” Ibnu Arabi mentafsirkannya: “Jika engkau tinggalkan mereka, nescaya mereka membingungkan hamba-hamba Mu dan mengeluarkan mereka dari keadaan ‘Ubudiah kepada keadaan berada di tengah-tengah rahsia Rububiah, lalu mereka melihat diri mereka sendiri sebagai tuhan-tuhan selepas menjadi sebagai hamba-hamba. Dengan itu mereka ialah hamba-hamba dan juga tuhan-tuhan. (Fususul Hikam, halaman 74)

Tafsiran Ibnu Arabi ini semakin memperlihatkan betapa jauhnya kesesatan dan kefasikan beliau kerana menjadikannya kesesatan kaum Nabi Nuh a.s. itu sebagai kebingungan sahaja, sebab mereka sebenarnya, menurut dakwaan Ibnu Arabi, mengetahui rahsia-rahsia ketuhanan dan bahawa setiap yang wujud itu ialah Allah, dan dengan itu mereka sendiri menjadi tuhan-tuhan!!

Ayat terakhir surah Nuh iaitu:

رَبِّ اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِمَن دَخَلَ بَيْتِيَ مُؤْمِناً وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ وَلَا تَزِدِ الظَّالِمِينَ إِلَّا تَبَاراً”. (Surah Nuh Ayat 28) Maksudnya lebih kurang: ”Wahai Tuhanku! Ampunilah bagiku dan bagi kedua ibu bapaku dan bagi sesiapa yang memasuki rumahku sebagai orang mukmin, dan bagi orang mukmin lelaki dan perempuan, dan janganlah engkau tambahkan kepada orang-orang yang zalim itu kecuali kebinasaan.”

Ibnu Arabi telah mentafsirkannya dengan berkata: “Ianya kata-kata Nabi Nuh a.s. selebihnya yang bererti: “Wahai tuhanku! Lindungilah aku, dan bagi akal dan tabiatku, bagi hatiku, bagi akal, bagi diri dan jiwa, dan janganlah engkau tambahkan kepada ahli-ahli ghaib itu melainkan kebinasaan sebab mereka tidak mengenal diri-diri mereka kerana penyaksian mereka terhadap wajah al-Haq di depan mereka.” Kemudian Ibnu Arabi berkata pula selepas itu, “Barang siapa mahu mengetahui rahsia-rahsia Nabi Nuh a.s., maka ia hendaklah menaiki bahtera Nabi Nuh. Bagi kami ianya berada di tanah rendah Maushul, dan Allah mengatakan yang benar.” (Fususul Hikam, Ayat 210-211)

Antara Isi Kandungan Fususul Hikam.

Seperti mana yang telah disebutkan, buku “Fususul Hikam” merupakan himpunan seluruh aqidah kepercayaan Ibnu Arabi. Ia menyentuh hal-hal mengenai Allah, agama-agamanya, hidayah serta nur yang diperolehi oleh Ibnu Arabi secara langsung dari sumbernya yang asal menurut dakwaannya. Di bawah ini diperturunkan sebahagian dari dakwaan-dakwaannya yang terkandung di dalam bukunya itu.

Ibnu Arabi mendakwa bahawa kaum Nabi Nuh a.s. telah memberikan jawapan yang betul dan benar kepada Nabi Nuh apabila mereka mengatakan Nabi Nuh a.s. telah memperdayakan mereka, lalu mereka memperdayanya balik, dan bahawa pegangan mereka kepada berhala–berhala sembahan mereka itu adalah pegangan yang hak mahu di hapuskan oleh Nabi Nuh a.s! Di antara ungkapan Ibnu Arabi mengenai hal ini ialah :

“Orang yang berilmu mengenai Allah tahu apa yang diisyaratkan Nabi Nuh a.s. mengenai hak-hak kaumnya dengan memuji mereka melalui kata-kata celaan ke atas mereka. Nabi Nuh a.s. tahu bahawa mereka tidak menyahut dakwahnya disebabkan mengandungi Furqan (pemisah di antara haq dan batil) sedangkan perintah itu ialah al-Qur'an bukan Furqan. Barang siapa yang telah ditegakkan dengan al-Qur'an tentunya ia tidak mendengar kepada Furqan, walaupun Furqan itu terdapat di dalam al-Qur'an. Nabi Nuh a.s. menyeru mereka dengan tujuan untuk mengumpulkan mereka bukan untuk mendedahkan kesalahan mereka, dan mereka memahaminya.


Kerana itu mereka meletakkan jari di telinga masing-masing dan menutup kepala mereka dengan kain. Semua ini merupakan gambaran perlindungan yang diserukan Nabi Nuh a.s. kepada kaum nya, dan mereka telah menjawab seruannya itu dengan perbuatan bukan dengan lafaz Labaik (Ya! Kami menyahut seruan mu! – penulis).

“Nabi Nuh a.s. berkata di dalam pesanan hikmatnya kepada kaumnya : “يُرْسِلِ السَّمَاء عَلَيْكُم مِّدْرَاراً” iaitu “Dia mengutuskan langit kepada kamu dengan makrifat makrifat aqliah di dalam pengertian dan pengamatan”. “وَيُمْدِدْكُمْ بِأَمْوَالٍ” iaitu “Dia membekalkan kamu dengan apa yang mencorakkan kamu kepadaNya.” Barang siapa berkhayal telah melihat-Nya, ia sebenarnya tidak tahu. Adapun siapa di antara kamu yang tahu ia telah melihat dirinys sendiri, maka ia itulah yang mengetahui atau yang arif.” (Fususul Hikam, halaman 71).

Di sini ternyata Ibnu Arabi secara berani mentafsirkan … مِّدْرَاراً… yang bererti hujan dan kesuburan yang merupakan hasil amalan soleh, ketaqwaan, keimanan dan istighfar itu sebagai makrifat, aqliah, dan mentafsirkan “ِأَمْوَالٍ” bererti iaitu harta benda sebagai sesuatu yang mencederungkan kaum Nabi Nuh a.s. kepadanya, lalu mereka dapat melihat bentuk mereka padanya! Inilah konsep Wahdatul Wujud. Kerana itulah kemudian Ibnu Arabi berkata “Maka barangsiapa di antara kamu berkhayal telah melihatnya, ia sebenarnya tidak tahu. Adapun sesiapa di antara kamu yang telah melihat dirinya sendiri, maka ia itulah yang mengetahui atau yang arif!”

Kemudian Ibnu Arabi berkata lagi mengenai firman Allah “وَمَكَرُوا مَكْراً كُبَّاراً” (Dan mereka telah menipu daya tipuan yang besar”). Ini adalah sesuatu penipuan terhadap pihak yang didakwah. Nabi Nuh a.s. berkata: “Aku menyeru kepada Allah, ini adalah suatu tipu daya dalam keasliannya. Lalu mereka menjawap Nabi Nuh a.s. dengan suatu tipu daya juga seperti mana ia menyeru mereka.” (Fususul Hikam, halaman 72)

Di sini pembaca dapat menanggap bagaimana Ibnu Arabi telah menjadikan dakwah kepada Allah itu suatu cara tipu daya terhadap pihak-pihak yang didakwah, bahkan ianya tipudaya yang sejati! Kemudian Ibnu Arabi menerangkan pula jenis tipu daya yang dibalas oleh kaum Nabi Nuh a.s. kepada nabi mereka itu dengan berkata: “Lalu mereka pun berkata di dalam tipu daya mereka: Janganlah kamu tinggalkan tuhan-tuhan kamu! Dan janganlah kamu tinggalkan Wad, Suwa’ Yaghuts, Ya’uk, Nasr! Sesungguhnya jika mereka meninggalkan tuhan-tuhan mereka bererti mereka jahil tentang al-Haq mengikut kadar mereka meninggalkannya. Kerana sesungguhnya al-Haq itu ada wajahnya pada semua ma’bud (yang disembah) yang diketahui oleh sesiapa yang mengetahui, dan dijahili oleh sesiapa yang jahil ……. Tidak disembah selain Allah pada setiap ma’bud.” (Fususul Hikam, halaman 73)

Ini menunjukkan Ibnu Arabi telah menjadikan berhala-berhala yang disembah oleh kaum Nabi Nuh a.s. itu sebagai tuhan-tuhan yang sebenar kerana menurutnya berhala–berhala itu merupakan satu daripada wajah–wajah Allah Yang Maha Haq. Dengan itu mereka sebenarnya adalah menyembah Allah!!

Buku Fususul Hikam

Di dalam bukunya Fususul Hikam yang merupakan penamat karya-karyanya dan penghimpun seluruh aqidah kepercayaannya, Ibnu Arabi merakamkan di dalam kata-kata pendahuluannya sebagai berikut:

Amma Ba’du, Sesungguhnya aku telah melihat Rasulullah s.a.w berwajah gembira. Aku mimpikannya pada sepuluh terakhir bulan Muharram tahun 627 di Mahrusah, Damsyik, dan di tangannya ada sebuah kitab. Baginda berkata: “Ini ialah kitab Fususul Hikam. Ambillah dan terbitkanlah kepada orang ramai supaya mereka manfaatkannya.” Aku menjawab: “Kami dengar dan kami patuh kepada Allah dan rasul-Nya serta ulil amri dari kalangan kami seperti mana yang diperintahkan kepada kami.”

Kemudian Ibnu Arabi berkata lagi, “Lalu aku laksanakan harapan itu, aku tuluskan niat dan aku betulkan tekad dan tujuan untuk menonjolkan kitab ini seperti mana yang ditetapkan oleh Rasulullah s.a.w tanpa tambahan dan kekurangan.” (Fususul Hikam, halaman 47, Cetakan Beirut).

Di halaman lain selepas menyebut maudu’–maudu’ kitab itu, Ibnu Arabi berkata: “Aku berpada menyebut hikmah di dalam kitab ini mengikut yang telah sabith di dalam Ummul Kitab (al-Qur'an–penulis). Aku mengikuti mana yang telah digariskan kepadaku dan aku berhenti setakat mana yang telah ditetapkan kepadaku. Andainya aku mahu menambahkan lebih dari itu nescaya aku tidak bermaya melakukannya kerana hadhrat menahanku berbuat demikian.” (Fususul Hikam, halaman 58)

Di dalam bab فص حكمة علوية في كلمة موسوية “ (Permata Hikmah Tertinggi Pada Kata-Kata Nabi Musa), Ibnu Arabi berkata: “Insya Allah, aku akan menyebutkan sebahagian darinya di dalam kitab ini mengikut sekadar perintah Ilahi yang terlontar di dalam hatiku. Ia adalah yang pertama sekali di pertuturkan kepada ku di dalam bab ini.” (Fususul Hikam, halaman 58)

Petikan-petikan dari Muqadimmah buku “Fususul Hikam” ini, juga dari celah-celah lembaran yang lain, menyarankan kepada kita ketegasan Ibnu Arabi yang mendakwa bahawa beliau telah menaqal secara langsung dari Allah bahkan secara mulut, terus dari Luh Mahfuz dan dari Rasulullah s.a.w yang menyuruhnya, di dalam mimpi yang didakwanya itu, supaya menerbitkan buku tersebut kepada orang ramai.