Thursday, June 22, 2006

Kisah Mimpi AJaib Di Kota Bharu

Saya dijemput oleh Jabatan Agama Islam Kelantan dan Gabungan Professional Kelantan untuk membentangkan kertas kerja dalam seminar “Ahli Sunnah Arus Perdana”. Turut membentang beberapa tokoh yang lain. Mereka semua tentunya jauh lebih senior dari saya. Antara mereka; yang dikasihi Dr. Johari Mat, Rektor KIAS, orang Kota Bharu. Secara keseluruhannya, peserta yang hadir kelihatan tertarik dan bergembira dengan tajuk-tajuk yang dibentangkan. Namun sebilangan para pelajar pondok dan juga guru-guru mereka yang turut hadir nampaknya amat tidak selesa dengan seminar tersebut.


Dalam sessi soal jawab di sebelah petang, mereka melaungkan takbir, bising, enggan duduk dengan sopan dan marah-marah. Semoga ALLAH mengampuni semua pihak. Mungkin ada fakta-fakta yang dibentang oleh para pembentang tidak selari atau selaras dengan pengetahuan mereka. Sedangkan kertas-kertas kerja itu disertai dengan rujukan dari sumber-sumber muktabar dan kertas telah dicetak dalam bentuk buku. Mereka tidak banyak bertanya. Sebaliknya meluahkan perasaan yang tidak jelas dan bercampur baur.

Mungkin juga mereka kurang biasa dengan pendekatan seminar, sehingga kelihatan sangat sukar untuk mereka mengingati perkara yang telah dijelaskan. Kita juga mengambil keputusan untuk tidak banyak menjawab demi menjaga perasaan masing-masing dan keharmonian majlis. Di samping soalan yang sebenar amat sedikit.

Namun antara yang menarik hati saya ialah hujah seorang tuan guru yang memperkenalkan dirinya dan pondoknya lalu diikuti dengan cerita keistimewaan dirinya. Selepas menyebut namanya dan nama pondoknya, dia menceritakan ketika ibunya mengandungkannya, ibunya telah bermimpi. Dalam mimpi tersebut dilihat sebutir bintang jatuh ke perut ibunya. Ibunya diberitahu akan lahirlah dari perutnya seorang anak yang bertuah. Anak itu adalah dirinya. Mesejnya yang boleh difahami beliau insan istimewa, maka pendapatnya tidak dipertikaikan. Jika pembaca berminat, boleh menghubungi pihak penganjur dan meminta rakaman program tersebut.

Saya rasa semua kita faham dalam agama mimpi tidak dijadikan hujah bagi mengukur sesuatu fakta syarak. Mimpi tidak pernah menjadi ukuran bagi menentukan kebenaran pegangan agama seseorang. Paling banyak, mimpi boleh menjadi khabar gembira untuk perkara yang sememangnya syarak izinkan. Atau mimpi menjadi amaran dalam perkara tertentu.

Berbeza dengan mimpi para nabi. Mimpi mereka adalah wahyu. Atau mimpi seseorang yang diiktiraf oleh nabi. Juga dianggap hujah. Selain mereka, mimpi bukan hujah. Ya, Islam tidak menolak kemungkinan sesuatu mimpi itu benar. Namun mimpi hanya disaksikan oleh seorang insan yang mendakwa tanpa bukti. Tidak boleh dipastikan pula sejauh mana ia khabar yang benar atau mainan syaitan. Untuk panduan peribadinya mungkin. Itupun jika tidak menyanggahi syarak.

Benar Hasan al-Banna apabila beliau menyebut dalam salah satu daripada Usul 20nya: “Iman yang benar, ibadah yang sah dan mujahadah merupakan cahaya yang dicampak oleh ALLAH ke dalam hati sesiapa yang dikehendaki di kalangan hamba-hambaNya. Tetapi ilham, lintasan hati, kasyaf, mimpi bukanlah dalil-dalil hukum syarak. Ia tidak diambil kira kecuali dengan syarat ia tidak bertentangan dengan hukum dan nas agama”.

Dalam sejarah, mimpi selain dari menjadi khabar benar atau gembira, mainan mimpi telah banyak menjadikan manusia terseleweng dari panduan al-Quran dan al-Sunnah. Atas nama mimpi juga dicipta hadith-hadith palsu. Sehingga kata ulama hadith: “Di antara bukti pemalsuan di dalam hadith ialah dakwaan sesetengah golongan sufi bahawa dia mengambil hadith daripada Nabi S.A.W dengan jalan kasyaf tanpa sanad yang bersambung dan sahih. Atau mereka mendakwa melalui jalan mimpi. Para ulama Islam telah sepakat bahawa mimpi dan kasyaf ;

keduanya tidak boleh menetapkan hakikat syariat. Ini kerana kedua perkara itu mengandungi kekeliruan dan tidak memiliki dabit (kawalan yang tetap). Maka menyandarkan kepada agama apa yang tidak ada dalil daripada al-Kitab dan al-Sunnah yang diambil daripada Nabi S.A.W. dengan sanad yang sahih adalah bid`ah dalam agama dan dakwaan batil yang ditolak”.( rujukan : Muhammad Abu Zuhu, Al-Hadith wa Al-Muhaddithun, m.s 485, Beirut : Dar al-Kitab al-`Arabi).

Saya terlebih dahulu menghargai peranan yang pernah disumbangkan oleh pusat-pusat pengajian agama seperti pondok-pondok yang masih wujud. Jasa mereka dalam menyebar dan mempertahankan Islam, tidak boleh dipandang remeh. Kita cintakan mereka. Namun kebenaran lebih kita cintai.

Tidak wajar bagi golongan agama berhujah dengan mimpi yang dilihatnya atau orang lain. Sedangkan agama mementingkan fakta dan bukti. Ketika sains berkembang dan menerajui dunia, apakah kita ingin mengemukakan hujah agama dengan berdasarkan mimpi semata?!! Hujah mimpi bukan sahaja ditolak oleh kehidupan moden, bahkan ia ditolak oleh Islam itu sendiri.

Di sesetengah pondok, barang kali pengaruh kesufian ala kebatinan masih wujud. Para pelajar begitu gemar dengan kisah-kisah mimpi dan keajaiban untuk membuktikan tokoh, atau alim tertentu berada di pihak yang benar. Walaupun sebahagiannya adalah karut marut semata. Maka tidak pelik jika kita diperdengarkan kisah wali tertentu yang bersolat dalam satu malam sehingga seribu rakaat. Kisah ini diceritakan bagi menggambarkan kehebatannya. Padahal jika kita tanya kepada pencerita; adakah sempat untuk ditunaikan seribu rakaat pada satu malam?! Jika dihitung, satu malam tidak sampai pun seribu minit. Mana mungkin nak ditunai seribu rakaat sekalipun dengan pantas dan bacaan yang sempurna.

Dalam hadith ‘Aisyah r.aha apa bila ditanya: “Bagaimana solat RasuluLah pada Bulan Ramadan?. Jawabnya: “Baginda tidak pernah melebihi sebelas rakaat pada Bulan Ramadan atau selain Ramadan. Baginda solat empat rakaat. Jangan ditanya kesempurnaan dan panjang solatnya. Kemudian baginda solat empat rakaat. Jangan ditanya kesempurnaan dan panjang solatnya. Kemudian baginda solat tiga rakaat”. ‘Aisyah bertanya: Wahai RasuluLah! Adakah engkau tidur sebelum witir?. Jawab baginda: Wahai ‘Aisyah! Mataku tidur tapi jantungku (hatiku) berjaga”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Inilah kisah benar seorang insan yang bertaraf rasul. Bukan sekadar wali. Kisahnya berpijak di alam nyata. Benarlah al-Imam Ibn Jauzi yang menyebut (w. 597H): Apabila engkau melihat sesebuah hadith menyanggahi logik, menyalahi manqul (al-Quran) dan bertentangan dengan usul-usul Islam, maka ketahui ianya hadith yang palsu. (Al-Sayuti, Tadrib al-Rawi, m.s. 182, Beirut:Dar al-Fikr).

Jika edisi agama yang dikemukakan demikian bentuknya, janganlah kesal kalau satu hari dunia moden akan memadamkan kewujudan pusat-pusat ini dari pentas sejarah umat. Golongan ulama dihormati dengan ilmu dan kesungguhan mereka menegak fakta dan hujah yang selaras dan selari dengan al-Quran dan Sunnah.

Jangan cuba jadikan orang lain terperangkap dek rasa takut kisah-kisah kewalian, mimpi, kasyaf dan keramat. Islam agama dalil dan hujah. Kata al-Imam al-Syatibi (meninggal 790H) selemah-lemah hujah mereka (ahli bid`ah) ialah puak yang dalam mengambil amalan agama bersandarkan mimpi-mimpi.

Mereka ini berpegang atau meninggalkan sesuatu amalan berdasarkan mimpi-mimpi tersebut. Mereka berkata: “Kami bermimpi lelaki soleh tertentu berkata kepada kami: Tinggalkan ini!, buat ini”. Ini banyak berlaku kepada mereka yang mengamalkan panduan tasawwuf. Di kalangan mereka ada yang berkata: “Aku melihat Nabi S.A.W dalam mimpi, baginda berkata kepada sebegini..dan memerintah aku sebegini”. Lantas dia pun mengamalkannya dan meninggalkan apa yang ditetapkan oleh syari`at.

Ini adalah salah, kerana mimpi individu selain nabi tidak boleh menghukum ketetapan syarak, dalam apa keadaan sekalipun. Melainkan setelah dibentangkan kepada hukum-hakam syariat yang ada. Jika syarak membolehkan, maka ia diamalkan, jika tidak, ditinggalkan”.(rujukan: Al-Syatibi, Al-`Itisam, 198, Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi)



Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi: “Di sana ada golongan sufi yang melampaui batas dalam menilai ilham. Bahkan ada di kalangan mereka yang mengiranya sebagai jalan mengetahui kebenaran yang tidak akan silap. Mereka mencerca ulama syariat yang berpegang dengan dalil dan tidak menerima sesuatu dakwaan tanpa bukti dari hujah yang baik atau akal atau wahyu.

Golongan sufi ini mencerca mereka dengan menyatakan mereka ini jumud dengan ilmu zahir. Bagi mereka; ilmu zahir kedudukannya seperti kulit, sedang ulama syariat berpaling daripada ilmu batin yang mana kedudukannya seperti isi”.(rujukan: Al-Qaradawi, Taisir al-Fiqh li al-Muslim al-Mu`asir, m.s. 134, Beirut: Muassasah al-Risalah)

Kata Dr. Wahbah al-Zuhaili: “Adapun ilham, ada kemungkinan ianya daripada Allah, kemungkinan juga ianya daripada syaitan seperti yang dinyatakan oleh firman Allah: terjemahannya): dan sesungguhnya syaitan-syaitan itu membisikkan kepada pengikut-pengikutnya, supaya mereka membantah (menghasut) kamu. (Surah al-An`am: 121)

Kemungkinan juga ianya adalah bisikan atau percakapan dalam dirinya. Ini seperti yang nyatakan oleh firman Allah : (terjemahannya) Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami mengetahui apa yang dibisikkan oleh dirinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya.( Surah al-Qaf: 16)

Dengan kemungkinan-kemungkinan ini, ilham tidak boleh menjadi hujah. Berkaitan dengan ini, maka pendapat sebahagian sufi bahawa ilham atau kasyaf adalah hujah yang wajib beramal dengannya di dalam hukum-hakam syarak adalah sesuatu yang batil”.( Wahbah al-Zuhaili, Usul al-Fiqh al-Islami, 2/924-925, Beirut: Dar al-Fikr)



Malangnya dalam ajaran sebahagian tarikat yang ada, persoalan mimpi sering dibangkitkan untuk dijadikan hujah bagi meyakinkan para pengikut yang jahil. Sebab itu ajaran awal kebanyakan aliran tarikat kebatinan ini ialah cerita-cerita keramat dan wali. Tujuannya untuk menjadikan diri tok syeikh begitu hebat dan menakutkan dalam jiwa pengikut. Jika ada yang kata tok guru salah, atau tokoh ulama tertentu silap, mereka berkata: dalam mimpi tertentu digambarkan begini dan begitu. Moralnya; dia tidak boleh dipertikaikan.

Saya begitu tertarik dengan muhaqqiq (penganalisa) Siyar A’lam al-Nubala, ketika mengulas riwayat mimpi Abu Ja’far, Muhammad bin Ahmad bin Nasr al-Tirmizi yang menyebut: “Aku lihat dalam mimpiku Nabi s.a.w. di dalam masjid baginda di Madinah. Seakan aku datang dan memberi salam kepada baginda dan berkata: “Aku tulis pendapat Malik?. Jawab baginda: Tidak!. Aku bertanya: “Aku tulis pendapat Abu Hanifah?” Jawab baginda: Tidak!. Aku bertanya: “Aku tulis pendapat al-Syafii?. Baginda mengisyaratkan dengan tangan baginda begini –seakan baginda mengherdikku-

“Kau kata pendapat al-Syafii?!! Itu bukannya pendapat, tetapi jawapan kepada sesiapa yang menyanggahi sunnahku”. Muhaqqiq tersebut mengulas: “Bila pulak mimpi menjadi hujjah di sisi ahli ilmu?!!. Malik, Abu Hanifah dan selain mereka adalah dari kalangan para imam yang adil lagi dipercayai (thiqah). Mereka berijtihad. Mereka menepati sebahagian besar apa yang mereka ijtihadkan dan tersilap dalam sesetengah perkara. Setiap orang boleh diterima dan ditolak pendapatnya. Maka apa lagi?!!!( Ahmad Naim al-Iraqsusi, Tahqiq Siyar A’lam al-Nubala, 10/43 Beirut: Muassasah al-Risalah)

Islam tidak menafikan ada mimpi yang benar. Tapi ia bukan hujah agama. Sekadar panduan peribadi dalam urusan yang jelas diizinkan syarak. Demikian juga karamat dan kasyaf. Jangan melampau batas sehingga menolak nas dan dalil yang terbukti hanya berpandukan mimpi. Mimpi bukan hujah agama. Hujah agama ialah al-Quran dan al-Sunnah. Kota Bharu akan malap jika begitu cara fikir kita. YA ALLAH AMPUNKAN KAMI SEMUA!!.

Bahaya Golongan al-Ruwaibidoh

Al-Ruwaibidoh adalah satu golongan yang diberi amaran oleh Nabi s.a.w. akan kemunculannya menjelang kiamat. Sabda baginda: Sesungguhnya sebelum kedatangan dajjal-dalam riwayat yang lain: sebelum kiamat- adanya tahun-tahun yang penuh tipu daya. Ketika itu didustakan orang yang benar, dianggap benar orang yang dusta, dianggap khianat orang yang amanah, dianggap amanah orang yang khianat, dan bercakap ketika itu al-Ruwaibidoh. Para sahabat bertanya: “Siapakah al-Ruwaibidoh?” Sabda Nabi s.a.w.: Orang lekeh yang berbicara mengenai urusan awam (orang ramai).”

Hadith ini diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad, Abu Ya’la, al-Bazzar, Ibnu Majah, al-Kharaiti, dan al-Hakim. Al-Hakim menyatakan isnadnya sahih.dan ini disetujui oleh Al-Zahabi. Demikian juga Ibn Hajar al-`Asqalani menyebut di dalam Fath al-Bari :sanadnya baik. Al-Albani di dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah juga menyatakan ianya sahih

Isi kandungan hadith ini adalah amaran Nabi s.a.w. kepada kita semua, bahawa akan muncul sebelum kiamat golongan manusia yang lekeh dan tidak berkelayakan tetapi bercakap dalam urusan umat yang membabit kepentingan umum dan ramai. Natijahnya, tentulah terjadinya porak peranda pemikiran manusia, gawatlah kefahaman mereka dan hancur binaan ilmu yang sebenar. Apa tidaknya, apabila yang lekeh menjadi pemimpin lalu bercakap dalam urusan umat, yang jahil berlagak `alim, yang menghafal sepatah dua ayat berlagak ulamak.

Yang bukan ulama mengakui ulamak, yang hanya ada sepatah dua ilmu agama ditabalkan menjadi ulamak. Inilah saat kehancuran. Justeru itu, al-Imam Ibn Rajab al-Hambali dalam Jami’ al-`Ulum wa al-Hikam ketika menghuraikan hadith tersebut menyatakan: “Maksud tanda kiamat yang disebut di dalam hadith ini merujuk kepada persoalan “apabila urusan diserahkan kepada bukan ahlinya” sepertimana yang disebut oleh Nabi s.a.w. kepada orang bertanya baginda mengenai kiamat, maka kata baginda, “apabila urusan diserahkan kepada bukan ahlinya maka tunggulah kiamat”.

Golongan al-Ruwaibidoh muncul di kalangan masyarakat, mereka sebenarnya lekeh, tidak berkelayakan tetapi cuba menonjolkan diri. Samada melalui pentas kepimpinan masyarakat, ataupun dalam gelanggang ilmu. Inilah dua peluang besar untuk seseorang muncul dan dapat bercakap, berbicara, memberikan pandangan mengenai urusan awam dan persoalan-persoalan besar.

Kadang-kala menerusi ucapan yang diperdengarkan, ataupun tulisan yang dibaca. Bukannya kesalahan itu kerana mereka memberi pandangan, tetapi kesalahannya kerana ketidaklayakan mereka, bekalan yang tidak cukup, berbicara mengenai sesuatu yang bukan bidang mereka. Sebab itu, al-Imam al-Sayuti dalam Syarah Sunan Ibn Majah menyatakan: “Al-Ruwaibidoh adalah orang yang lemah yang cuba mencampuri perkara-perkara besar dan berusaha untuk memperolehinya”.

Inilah yang sedang kita saksikan di pentas dunia kita. Apabila urusan politik umat cuba diuruskan oleh mereka yang tidak mendalami ilmu al-siyasah al-syar`iyyah, lalu memberikan pandangan yang bukan-bukan mengenai politik Islami maka kefahaman umat bawahan menjadi kelam kabut. Umpamanya lihat lagak sebahagian orang-orang politik di negara ini.

Yang jahil tentang ilmu mustalah al-hadith, tidak pernah mempelajari ilmu sanad, tidak mengetahui apa itu ilmu al-Rijal, apa itu ilmu al-Jarh wa al-Ta’dil, yang menjadi asas pengetahuan dan kajian dalam hadith nabawi, berani bercakap tentang hadith dan mencabarnya. Umpamanya lihatlah Kasim Ahmad!!!.

Yang tidak tahu bahasa arab, jahil kaedah dan cara istinbat (memetik) hukum, tidak mendalami bab al-`Illah dalam Usul al-Fiqh, tidak mendalami Maqasid al-Syarak, cuba menghuraikan dan mencabar beberapa ketetapan syarak. Umpamanya, lihatlah gerakan sisters in Islam!!. Semua golongan ini bercakap apa sahaja yang mereka mahu mengenai agama, apatah lagi bila diberi ruang di dalam akhbar dan media massa. Hinggakan ada orang politik yang mengajak rakyat bersolat hajat untuk menjadi tuan rumah sukan yang menyanggahi disiplin agama.

Sementara di kalangan yang cintakan Islam pula, budaya ilmu belum begitu subur berkembang. Kuliah-kuliah agama di sebahagian masjid dan surau, kurang membuahkan ilmu yang menimbulkan rasa takut kepada Allah dan faham hukum-hakamnya. Peserta kuliah sebahagiannya lebih meminati kuliah yang dipenuhi dengan lawak jenaka tanpa penekanan kepada ilmu. Lebih mendukacitakan lagi apabila yang dijemput mengajar tidak memilik latar belakang ilmu.

Kata orang arab “orang yang tidak memiliki sesuatu tidak dapat memberikan sesuatu”. Ada yang tidak pernah mempelajari Usul al-Fiqh tiba-tiba memberi fatwa dalam hukum fikah. Bahkan sebahagiannya begitu jahil, misalnya, sehingga ada yang tidak tahu apa yang dikatakan al-Ijmak atau ijmak ulamak, lalu menafsirkannya sebagai pendapat tokoh-tokoh agama nusantara. Ada yang tidak mengetahui bahasa arab melainkan sepatah dua, tidak pernah mempelajari Usul al-Tafsir atau `Ulum al-Quran tiba-tiba mengajar kuliah tafsir.

Menghuraikan apa sahaja ayat yang dirasakan boleh menyeronokkan pendengar. Pergantungannya hanya kepada apa yang dia faham dari al-Quran terjemahan samada dalam bahasa Melayu, Indonesia ataupun Inggeris. Lalu qurannya adalah quran menurut apa yang dia faham dari bahasa Melayu, atau Indonesia, atau Inggeris, bukan daripada Bahasa `Arab yang nyata seperti yang disebut dalam al-Quran itu sendiri.

Malangnya dia berani menafsirkan untuk orang ramai sesedap lidahnya. Maka terbitlah dari lidah yang tidak bertulang itu kesimpulan-kesimpulan yang ganjil. Kalau Ibn `Abbas, Mujahid, al-Tabari, al-Qurtubi, Ibn al-`Arabi dan para mufassirin yang lain masih hidup tentu mereka kehairanan mendengar tafsir sedemikian pelik.

Ada pula yang menganggap ilmu hadith itu hanyalah membaca makna hadith dan menghuraikannya, tanpa perlu mengetahui bahasa `arab, tidak mengetahui apa itu sanad, tidak pula mampu membeza antara hadith-hadith yang thabit iaitu yang sahih dan hasan, dengan yang dhaif (lemah) atau dengan yang maudu’ (palsu). Bahkan ada yang tidak mengetahui bahawa haramnya seorang muslim membaca hadith palsu dihadapan khalayak tanpa diterangkan kepalsuannya. Tidak mengetahui apakah disiplin al-Bukhari dalam sahihnya, apakah pula disiplin Muslim, apakah pula disiplin Al-Tirmizi, Abu Daud, Ibn Majah, al-Nasai, Ahmad, Ibn Hibban, al-Hakim, dan semua tokoh-tokoh hadith. Lalu mereka menganggap semua hadith yang dibaca mertabatnya sama.

Malangnya mereka yang seperti ini juga cuba berfatwa mengenai hadith Nabi s.a.w.. Kalau Ibn al-Salah, al-Hafiz al-`Iraqi, al-Balqini, al-Khatib al-Baghdadi, al-Ibn Hajar al-`Asqalani, al-Qasimi dan seumpama mereka mendengarnya tentu akan terkejut kehairanan

Ini yang dinyatakan oleh Nabi s.a.w. dalam sebuah hadith yang sanadnya sahih seperti yang sebut oleh Ibn Hajar al-`Asqalani dalam Fath al-Bari: “Rosaknya agama apabila ilmu datang daripada yang kerdil, yang dibantah oleh golongan yang `alim. Baiknya manusia apabila ilmu datang dari golongan `alim dan diikuti oleh golongan kerdil”

Di sesetengah tempat, sekadar seseorang pandai berceramah terus sahaja diberi lesen untuk bercakap mengenai agama. Berbicara seolah-olah dia menguasai kesemua disiplin ilmu di dalam Islam. Apatah lagi apabila ceramah boleh mendatang pendapatan yang lumayan, maka ramai yang berusaha menjadi penceramah dengan menghafal sepatah ayat dan hadith lalu menafsirkannya menurut apa yang digemari pendengar. Lalu dia menyangka dia betul kerana orang awam suka mendengar apa dia ulas. Modalnya hanya dua, hentam apa sahaja yang mendatangkan minat pendengar dan lawak yang boleh menyeronokan pendengar. Mungkin juga akhirnya dia menyangka dirinya alim lantas semakin hari, semakin berani memberi pandangan apa sahaja mengenai agama.

Saya masih teringat kepada al-Syeikh Dr. Hasan Hitu, beliau adalah seorang tokoh ulamak semasa bermazhab al-Syafi’i dari Syria, terkenal dengan karya-karyanya dalam fikah terutama dalam mazhab al-Syafi`i..

Dalam ceramahnya kepada kami, beliau menyatakan bahawa ilmu-ilmu Islamlah yang paling dizalimi. Sebabnya, seseorang tidak dibenarkan menjadi doktor memeriksa dan memberi ubat kepada pesakit melainkan setelah dia lulus dalam bidang perubatan dengan baik. Seseorang tidak dilulus untuk membina bangunan yang tinggi melainkan setelah dia memiliki kelulusan dalam bidang binaan. Begitu juga bidang-bidang yang lain. Namun, malang sekali apabila tiba kepada persoalan ilmu Islam, semua lapisan diizinkan memberikan pendapat dalam segala bidang yang ada di dalam agama. Samada dia pernah belajar atau tidak. Sehingga artis yang tidak tahu hujung pangkal agama pun memberi pandangan mengenai hukum-hakam syarak”.

Inilah yang sedang berlaku dalam masyarakat Islam. Ilmu Islam dianggap begitu murah dan lekeh. Bidang-bidang lain, orang tidak berani masuk campur melainkan jika memilki pengetahuan yang cukup mengenainya. Ilmu Islam pula diperlakukan sebaliknya. Sehinggakan para artis yang sedang aktif ataupun yang telah pencen, pun berfatwa tentang agama.

Sebenarnya, bukan kita halang mereka bercakap atau cuba menyumbang untuk Islam, tetapi jangan mereka bercakap dalam apa yang mereka tidak benar-benar memahaminya, kerana akhirnya umat akan tersasul dan tersilap dalam memahami al-Din. Menyesatkan umat adalah suatu jenayah. Sumbangan kepada umat dialu-alukan, namun biarlah ianya melalui cara yang betul. Jika tidak mereka akan menjadi golongan al-Ruwaibidoh.

Namun, apa yang dapat kita katakan jika ianya adalah salah satu dari tanda kiamat yang dikhabarkan iaitu munculnya golongan al-Ruwaibidoh. Kepada Allah kita pohon agar kita tidak tergolong dalam golongan ini.

Tarekat Yang Sesat Lagi Kufur

Tiada jalan untuk mendapatkan petunjuk Allah melainkan menerusi Islam. Tiada jalan memahami Islam melainkan memahami al-Quran dan as-Sunnah dengan kaedah-kaedahnya yang sahih. Malangnya masih ada di kalangan yang mendakwa diri mereka muslim lebih suka kepada tafsiran-tafsiran Islam yang tidak berteraskan kefahaman yang betul terhadap al-Quran dan as-Sunnah.

Di kalangan mereka ada pula yang begitu berminat jika memiliki aliran atau tafsiran agama yang tersendiri dan menyimpang dari petunjuk al-Quran dan as-Sunnah. Antaranya dengan menyertai atau menganut ajaran sebahagian tarekat atau aliran kerohanian yang membuat beberapa tafsiran agama yang sangat bahaya pada penilaian aqidah Islamiyyah.

Golongan seperti ini menganggap diri, guru dan aliran yang mereka ikuti adalah istimewa dan mulia. Mereka bangga dengan tafsiran-tafsiran pelik yang menyimpang jauh dari jalan petunjuk yang sebenar. Mereka mendakwa mereka telah menemui ilmu kerohanian dan makrifat. Justeru itu, mereka tidak lagi bergantung kepada hukum zahir atau kepada syariat yang dipegang golongan zahir atau awam. Mereka mendakwa kononnya mereka adalah golongan batin atau hakikat yang mempunyai ilmu ladunni (ilmu secara langsung dari Allah), kasyaf (singkapan hijab) yang tidak lagi memerlukan lagi nas-nas al-Quran dan as-Sunnah.

Sebenarnya, tarekat atau aliran kesufian yang seperti ini sangat merbahaya kerana menatijahkan kerosakan aqidah dan tulisan ini akan cuba membahaskannya dengan ringkas.

Kepentingan Aqidah

Telebih dahulu hendaklah seseorang sedar bahawa persoalan `aqidah adalah teras kepada ad-din. Tanpa aqidah yang sahih iaitu yang berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah maka seluruh amalan adalah sia-sia belaka, sekalipun nampak pada zahirnya hebat.

Firman Allah yang bermaksud : "Sesiapa yang beramal dengan amalan yang solih samada lelaki atau perempuan dalam keadaan dia mukmin, mereka itu memasuki syurga dan mereka tidak dizalimi walaupun sedikit" (Surah an-Nisa' :124)

Dalam ayat di atas Allah dengan jelas mensyaratkan seseorang yang ingin melakukan amal solih itu hendaklah mukmin iaitu beriman kepada Allah dalam ertikata iman yang sebenar dan pastinya tidak melakukan perkara-perkara yang merosakkannya. Dengan itu sesiapa yang akidahnya rosak maka amalannya sama sekali tidak diterima walaupun kelihatan banyak dan hebat. Ini kerana setiap amalan dalam Islam dibina di atas asas aqidah.

Iktikad Yang Merosakkan

Iktikad yang ada pada sebahagian golongan tarekat yang menganggap bahawa sesiapa yang sudah sampai kepada peringkat tertentu dalam amalan atau tarekat yang mereka ikuti maka dia tidak lagi bergantung kepada syariat seperti tidak perlu lagi solat, puasa, jihad dan sebagainya. Mereka beranggapan kononnya yang perlu beramal ialah golongan awam sedangkan mereka adalah golongan khusus atau ahli hakikat atau makrifat.

Sebenarnya hendaklah diketahui bahawa fahaman ini termasuk dalam aliran kufur dan sesat yang telah lama dibahaskan dan ditentang oleh para ulama Ahl as-Sunnah wa al-Jama`ah. Mereka perlu jelas bahawa kesimpulan perbahasan berkenaan menyatakan kepercayaan atau pegangan tersebut boleh mengeluarkan mereka dari Iman dan Islam. Dalam kata lain ianya boleh membatalkan syahadah mereka dan menjadikan mereka kafir. Para ulama aqidah memasukkan kepercayaan seperti itu dalam senarai perkara kufur. Disebut dalam 'Taisir dhi al-Jalal wa al-Ikram bi Syarh Nawaqid al-Iman' seperti berikut: "Sesiapa yang beriktikad bahawa sebahagian manusia dibolehkan keluar dari syariat Muhammad s.a.w maka dia adalah kafir. Ini berdasarkan firman Allah:

(Maksudnya) "Sesiapa yang mencari selain Islam sebagai din (agama) maka sama sekali tidak diterima daripadanya dan dia di akhirat kelak termasuk daripada kalangan golongan yang rugi" (Surah Ali `Imran : 85)" (m.s. 97, Cetakan Dar Isybilia, Saudi)

Al-Imam Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-`Azim, menafsir ayat dalam Surah Ali `Imran di atas menyatakan: "Sesiapa yang melalui suatu cara yang lain dari apa yang di syariatkan Allah maka sama sekali ianya tidak diterima" ( jld. 2, m.s. 378, Cetakan Dar al-Ma'rifah, Beirut).

Guru-guru ajaran sesat yang seperti ini biasanya akan mengemukakan kepada para pengikutnya yang jahil dalam memahami al-Quran dan as-Sunnah berbagai-bagi tafsiran palsu, bohong lagi menyesatkan. Para pengikut yang tidak begitu jelas kefahaman terhadap Islam akan menerima dan menganggap mereka memiliki hujah dan dalil yang kuat terhadap apa yang mereka percayai. Antara apa yang dihuraikan oleh golongan ini untuk menghalalkan tindakan mereka yang enggan mengikut syariat dan menganggap mereka telah sampai kepada suatu makam yang istimewa ialah:

Penyelewengan Huraian Maksud al-Yaqin

Mereka berhujjah dengan firman Allah dalam Surah al-Hijr ayat 99 yang bermaksud: "Beribadatlah kepada tuhanmu sehingga datangnya kepadamu al-yaqin".

Dengan membuat tafsiran salah mereka menyatakan bahawa ayat ini bermaksud "beribadatlah kepada tuhanmu sehingga engkau memperolehi ilmu dan makrifat, setelah engkau telah memperolehinya maka gugurlah kewajipan `ibadat". Di sana ada lagi beberapa tafsiran lain yang mereka cipta bagi membolehkan mereka menganggap perkataan al-yaqin dalam ayat di atas adalah bermaksud makam sufi. Apabila mereka menganggap diri mereka telah memperolehinya maka tanggung jawab ibadat atau mengikut syariat sudah tidak diperlukan lagi kerana ayat tersebut menyatakan sehingga datangnya yakin maka apabila yakin yang ditafsirkan oleh mereka telah diperolehi maka syariat pun gugur.

Tafsiran Sebenar

Sebenarnya perkataan al-yaqin di dalam ayat di atas telah ditafsirkan oleh semua mufassirin yang muktabar sebagai al-maut iaitu kematian. Dengan ini ayat tersebut bermaksud: "Beribadatlah kepada tuhanmu sehingga datangnya kepadamu kematian"

Al-Qadi Abu Bakr Ibn al-`Arabi di dalam kitabnya yang masyhur iaitu Ahkam al-Quran menjelaskan maksud ayat ini: "Perkataan al-yaqin bermaksud al-maut (kematian), Allah memerintahnya agar terus menerus dalam ibadat selama-lamanya, iaitu sepanjang hayat." Seterusnya Al-Qadi Abu Bakr Ibn al-`Arabi mengemukakan alasan mengapakah perkataan al-yaqin di dalam ayat di atas ditafsirkan sebagai al-maut. Iaitu berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari, apabila Rasulullah menziarah jenazah Uthman bin Madh`un, baginda bersabda:

"Adapun dia telah datang kepadanya al-yaqin. Demi Allah aku mengharapkan untuk kebaikan..."( jld. 3, m.s. 116, Cetakan Dar al-Fikr, Beirut).

Daripada hadith riwayat al-Imam al-Bukhari (hadith ke-1243) yang dikemukan oleh al-Qadi Abu Bakr Ibn al-`Arabi dengan jelas menunjukkan Rasulullah s.a.w. mengucapkan kepada jenazah Uthman bin Madh`un yang telah meninggal, baginda menggunakan perkataan al-yaqin dengan dimaksudkan al-maut iaitu kematian. Dengan jelas sunnah atau hadith sendiri telah menafsirkan maksud ayat tersebut. Maka ini yang kukuh kerana tafsiran yang paling kuat terhadap sesuatu ayat al-Quran ialah samada di tafsirkan dengan ayat al-Quran yang lain atau dengan as-Sunnah. Setelah datangnya tafsiran yang ma'thur (daripada Rasullullah) maka tidak boleh wujud lagi sebarang tafsiran aqli yang menyanggah tafsiran Nabi s.a.w.

Daripada ucapan Nabi s.a.w. yang jelas itu maka ayat tersebut bermaksud setiap mukmin diwajibkan terus beribadat sehingga tibanya kematian. Justeru itu ternyata, ayat tersebut bukanlah hujah yang menyokong kesesatan golongan berkenaan sebalik ianya adalah dalil yang menentang pendapat mereka yang menyeleweng yang hanya menghadkan ibadat sehingga ke tahap tertentu sahaja.

Al-Imam Ibn Kathir dalam menafsir ayat daripada surah al-Hijr tersebut, menyebut alasan tambahan yang membuktikan kesesatan tafsiran golongan tarekat atau sufi tersebut, katanya: "Sesungguhnya ibadat seperti solat dan seumpamanya adalah wajib bagi setiap insan selagi akalnya masih berfungsi, maka hendaklah dia mengerjakan solat mengikut keadaannya. Ini seperti yang sabit di dalam Sahih al-Bukhari daripada `Imran bin Husoin r.a. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bersabda: "Solatlah dalam keadaan berdiri, jika tidak mampu maka dalam keadaan duduk dan jika tidak mampu maka di atas lambung".

Berdalilkan ini menunjukkan kesalahan pendapat golongan mulhid yang berpendapat maksud al-yaqin ialah makrifat dan apabila telah seseorang di kalangan mereka telah memperoleh makrifat maka gugur daripadanya tuntutan agama. Ini adalah iktikad yang kufur, sesat dan jahil. Sesungguhnya para anbiya a.s. dan sahabah mereka adalah golongan yang paling mengetahui tentang Allah, paling mengenali tuntutan-tuntutanNya, sifat-sifatNya dan apa yang paling layak untuk mengagungkanNya, namun begitu mereka adalah golongan yang paling kuat dan banyak ibadat serta terus menerus melakukan amalan kebaikan sehingga menemui kematian. Dengan itu maksud al-yaqin di sini adalah al-Maut (kematian) (jld. 2, m.s. 581)

Cuba lihat dalam petikan di atas al-Imam Ibn Kathir dengan jelas menghukum golongan ini sebagai mulhid (tidak percayakan agama), kafir, sesat dan jahil. Ini menunjukkan betapa bahayanya kepercayaan seperti ini terhadap aqidah dan wajibnya golongan ini ditentang.

Menyelewengkan Tafsiran Kisah Musa dan Khidir


Selain itu golongan ini juga beralasan dengan peristiwa Nabi Musa a.s. dan Khidir a.s. yang disebut di dalam al-Quran, di dalam Surah al-Kahf. Jika kita merujuk kepada Surah al-Kahf (ayat 60-82) Allah menceritakan pengembaraan Nabi Musa mencari Khidir a.s. bagi menuntut ilmu daripadanya. Semasa perjalanan Nabi Musa a.s. menemani Khidir a.s., baginda telah melihat beberapa tindakan Khidir a.s. yang menyanggahi syariat yang diturunkan kepadanya (Musa) lalu baginda membantahnya. Setelah tiga kali pertanyaan serta bantahan dibuat oleh Musa a.s. terhadap tiga tindakan yang dilakukan oleh Khidir, akhirnya Khidir pun tidak lagi membenarkan Musa a.s. mengikuti dan menceritakan rahsia segala tindakan-tindakannya yang dianggap oleh Nabi Musa a.s. sebagai kesalahan.

Dengan mempergunakan kisah dalam Surah al-Kahf berkenaan maka golongan sufi atau tarekat yang sesat beralasan bahawa para wali dibolehkan tidak mengikut syariat para nabi dan boleh melakukan segala tindakan yang dianggap salah oleh golongan zahir tetapi haikatnya betul di sisi ilmu hakikat atau ilmu ladunni. Ini kononnya sama seperti tindakan Khidir yang tidak mengikut Nabi Musa a.s. kerana Khidir adalah wali Allah dia menilai dengan ilmu ladunni yang terus menerus daripada Allah sedangkan Musa a.s adalah seorang nabi yang menilai dengan ilmu syariat semata. Justeru itu golongan hakikat tidak sama dengan golongan syariat dan golongan hakikat tidak perlu mengikut syariat seperti Khidir tidak perlu mengikut Musa.

Inilah dakwaan mereka yang sangat jahil bagi menilai apa yang terkandung di dalam lafaz-lafaz atau bentuk-bentuk ayat (siyaq al-Ayat) yang membawa maksud bagi sesuatu tafsiran yang benar. Golongan sufi yang menyeleweng dan tarekat yang sesat mempergunakan ayat 65 dari Surah al-Kahf yang maksudnya


"Lalu mereka berdua (Musa dan Yusya' bin Nun) telah bertemu seorang hamba (Khidir) dari kalangan hamba-hamba Kami (Allah) yang telah Kami berikan kepadanya rahmat dari sisi Kami dan Kami berikan kepadanya ilmu dari sisi Kami".

Oleh kerana ayat itu menyebut min ladunna ilma (ilmu dari sisi Kami) maka muncul istilah ilmu ladunni. Dengan istilah ini ada golongan sufi dan tarekat yang sesat mengambil kesempatan untuk mengatakan mereka juga mempunyai ilmu ladunni seperti Khidir oleh itu mereka tidak terikat atau bergantung dengan syariat zahir.

Sebab itu seorang tokoh mufassir semasa iaitu Solah `Abd al-Fatah al-Khalidi dalam mengulas ayat ini dalam buku Ma`a Qasas as-Sabiqin Fi al-Quran beliau menyebut: "Para penafsir golongan sufi telah berbicara dengan perkataan-perkataan yang pelik mengenai ilmu ladunni dan memisahkan antara hakikat dan syariat, yang zahir dan batin. Mereka telah mencampur aduk dan merosakkan dalam menafsirkan ayat-ayat ini dan juga selainnya." (jld. 2 m.s. 186. Cetakan Dar al-Qalam, Syiria) . Beliau juga menukilkan beberapa ulasan para ulama mengenai ayat ini, antaranya ulasan al-Imam as-Syinqiti di dalam tafsirnya, Adwa al-Bayan iaitu: "Sesungguhnya rahmat dan ilmu ladunni yang kedua-duanya Allah kurniakan kepada kepada Khidir bermaksud kenabian dan wahyu. Ini kerana Khidir berkata kepada Musa:

(Maksudnya) "Aku tidak melakukannya dengan kehendakku". (Surah al-Kahf: 82)
Perintah Allah tidak diketahui kecuali dengan jalan wahyu. Tiada jalan kepadanya melainkan wahyu. Allah telah menentukannya (pengetahuan mengenai perintahNya) hanya dengan jalan wahyu dengan firmannya dalam Surah al-Anbiya ayat 45:

(Maksudnya) "Katakanlah (Wahai Muhammad !) Aku hanya memberikan peringatan dengan wahyu". (ibid. m.s. 190)

Setelah menghimpunkan ulasan dan tafsiran para ulama mengenai ilmu ladunni yang diisyaratkan oleh al-Quran, Solah al-Khalidi membuat kesimpulan seperti berikut, katanya: "Selepas melihat perkataan-perkataan daripada para ulama kita maka kita dapat membuat suatu keputusan yang putus iaitu: Ilmu ladunni yang diisyaratkan oleh ayat tersebut, yang telah Allah ajarkannya kepada Khidir a.s. sebenar ialah nubuwwah (kenabian) dan wahyu. Adapun pengakuan dan dakwaan golongan sufi mengenai ilmu ladunni menurut kefahaman mereka itu, adalah batil, sesat, menyanggahi syariat Islam dan petunjuk al-Quran. (m.s. 92)

Ini bererti seluruh tindakan Khidir adalah wahyu daripada Allah. Khidir adalah nabi. Nabi Musa diutuskan kepada Bani Israil tidak diutuskan kepada Khidir. Khidir juga sebenarnya adalah Nabi yang menerima arahan langsung daripada Allah melalui jalan wahyu. Beliau tidak bergantung kepada syariat yang dikhususkan kepada Bani Israil. Justeru itu, segala tindakan Khidir adalah perintah Allah yang pasti melalui jalan wahyu dan tidak bergantung kepada ajaran Nabi Musa a.s. yang diutuskan untuk Bani Israil. Adapun Nabi Muhammad adalah utusan untuk sekelian manusia tanpa kecuali dan tidak ada yang terlepas dari berada di bawah lembayung ajarannya.

Al-Imam al-Allamah Ibn Abi al-`Izz dalam kitab aqidah yang iaitu Syarh al-`Aqidah at-Tahawiyyah dengan jelas menyebut persoalan ini dengan katanya: "Adapun sesiapa yang berpegang dengan kisah Musa bersama Khidir a.s. bagi membolehkannya meninggalkan wahyu kerana bergantung dengan ilmu ladunni, seperti yang didakwa oleh yang tidak mendapat taufik, maka dia adalah mulhid (atheis) dan zindiq (munafiq). Ini kerana Musa a.s. bukanlah Rasul yang diutuskan kepada Khidir. Khidir juga tidak diperintah untuk mengikutnya. Sebab itulah Khidir bertanya Musa: "Apakah engkau Musa dari Bani Israil?" Jawab Musa: "Ya!" (Riwayat al-Bukhari). Adapun Muhammad adalah diutuskan untuk seluruh manusia dan jin. Sekiranya Musa dan `Isa masih hidup maka mereka mesti menjadi pengikutnya. Apabila `Isa turun ke bumi (pada akhir zaman) dia hanya akan berhukum dengan syariat Muhammad. Oleh itu sesiapa yang mendakwa bahawa kedudukan dia bersama Muhammad seperti Khidir bersama Musa atau membolehkan (mempercayai) ianya berlaku untuk sesiapa di kalangan umat maka hendaklah dia memperbaharui keislamannya, hendak dia kembali bersyahadah dengan syahadah yang benar kerana dia telah terkeluar dari Islam keseluruhannya. Sama sekali dia bukan dari kalangan wali-wali ar-Rahman sebaliknya dia adalah wali-wali syaitan". (m.s. 511, cetakan al-Maktab al-Islami, Beirut).

Lihatlah betapa jelasnya pendirian para ulama akidah terhadap golongan sufi dan tarekat yang seperti ini. Nyata sekali, sesiapa yang mendakwa perkara seperti ini terhadap dirinya atau orang lain seperti guru tarekat atau syeikhnya maka dia sama sekali adalah terkeluar daripada Islam. Di samping itu, sesiapa yang mendakwa dirinya seperti Khidir bererti dia mendakwa dirinya diberikan wahyu seperti Khidir atau dalam kata lain dia mendakwa diri menjadi nabi setelah datangnya penutup sekelian nabi. Ini adalah kekufuran di atas kekufuran.

Al-Imam al-Qurtubi yang merupakan tokoh mufassir besar. Beliau juga tidak lupa membahaskan persoalan ini dalam tafsirnya al-Jami' li Ahkam al-Quran. Beliau menukilkan ulasan gurunya al-Imam Abu al-`Abbas mengenai golongan ahli kebatinan yang dihukum sebagai zindiq iaitu katanya: "Mereka itu berkata: "Hukum-hakam syarak yang umum adalah untuk para nabi dan orang awam adapun para wali dan golongan khusus tidak memerlukan nas-nas (agama) sebaliknya mereka hanya dituntut dengan apa yang terdapat dalam hati mereka. Mereka berhukum berdasarkan apa yang terlintas dalam fikiran mereka". Golongan ini juga berkata: "Ini disebabkan kesucian hati mereka dari kekotoran dan keteguhannya maka terjelmalah kepada mereka ilmu-ilmu ilahi, hakikat-hakikat ketuhanan, mereka mengikuti rahsia-rahsia alam mereka mengetahui hukum-hakam yang detil maka mereka tidak memerlukan hukam-hakam yang bersifat umum seperti yang berlaku kepada Khidir. Mencukupi baginya (Khidir) ilmu-ilmu terserlah kepadanya dan tidak memerlukan apa yang ada pada kefahaman Musa". Golongan ini juga menyebut: "Mintalah fatwa dari hatimu sekalipun engkau telah diberikan fatwa oleh para penfatwa". Seterus al-Qurtubi mengulas dakwaan-dakwaan ini dengan katanya: "Kata guru kami r.a.: Ini adalah perkataan zindiq dan kufur dibunuh sesiapa yang mengucapkannya dan tidak diminta daripadanya taubat, kerana dia telah engkar apa yang diketahui dari syariat.

Sesungguhnya Allah telah menetapkan jalanNya dan melaksanakan hikmahNya bahawa hukum hakamnya tidak diketahui melainkan melalui perantaraan rasul-rasul yang menjadi para utusan antara Allah dan makhlukNya. Meraka adalah penyampai risalah dan perkataanNya serta penghurai syariat dan hukum-hakam. Allah memilih mereka untuk itu dan mengkhususkan urusan ini hanya untuk mereka." Dalam huraian tambahan al-Qurtubi menyebut lagi: "Telah menjadi ijma' salaf dan khalaf bahawa tidak ada jalan mengetaui hukum-hakam Allah yang berhubung suruhan dan laranganNya walaupun sedikit, melainkan melalui para Rasul. Sesiapa yang berkata "Disana ada cara lain untuk mengetahui suruhan dan larangan Allah tanpa melalui para rasul atau tidak memerlukan para rasul maka dia adalah kafir, dihukum bunuh......"(jld. 11, m.s. 40-41, cetakan Dar al-Fikr, Beirut).

Demikian betapa tegasnya al-Imam al-Qurtubi dalam mengulas dakwaan sesat lagi kufur ini bagi membukti betapa bahayanya iktikad yang seperti ini. Bahkan kebanyakan para ulama Ahli as-Sunnah tidak lupa untuk memperingatkan perkara ini setiap kali mereka menyebut kisah Musa dan Khidir bagi memerangi golongan yang mempergunakan tafsiran yang salah lagi sesat ini untuk memperlihatkan keistimewaan diri dan akhir mereka tercerumus kelembah kekufuran. Umpamanya, lihatlah ulasan yang begitu jelas oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah dalam Majmu' al-Fatawa dalam menentang kefahaman-kefahaman yang seperti ini. Demikianlah para ulama yang lain bagi setiap zaman. Maka golongan ilmuan yang wujud pada zaman ini juga perlu memerangi perkara yang seperti ini. Ini kerana aliran kepercayaan ini masih wujud dan mempengaruhi kalangan yang jahil dan mencari kesempatan untuk melepaskan diri dari agama. Jika mereka tidak ditentang habis-habisan maka akan hancur binaan Islam dan yang tinggal hanyalah Islam tanpa syariat.

Friday, June 16, 2006

Hadrah Menurut Tarekat Burhamiah


 

Konflik Hukum Ahli Fiqh Dan Tarekat

Pada satu hari, saya mendapat sebuah sms yang bertanyakan perihal pandangan seorang penceramah. Penceramah itu dalam salah satu kuliahnya di sebuah masjid telah menyatakan bahawa solat seseorang yang tidak khusyuk adalah sah di sisi ahli fiqh tetapi tidak sah di sisi ahli tasawuf. Saya tidak terlalu terkejut kerana ini bukan kali pertama saya mendengar pendapat sebegini rupa.


Kira-kira setahun yang lalu, saya telah hadir ke satu kuliah yang disampaikan oleh seorang ustaz yang agak dikenali sebagai penceramah bebas. Beliau bercerita tentang puasa. Beliau juga mengulangi rentak yang agak sama iaitu puasa kalau mengikut penilaian ahli fiqh akan terbatal jika melakukan perkara-perkara yang membatalkan seperti makan, minum dan sebagainya.

Tetapi mengikut penilaian ahli tasawuf, hanya dengan memikirkan apa juadah yang akan kita sediakan untuk berbuka sudah dikira berdosa. Puasa itu juga dikira batal dengan perkara lain seperti berfikir tentang keduniaan Saya terfikir, dari mana agaknya datang pemikiran yang double standard sebegini?


Ketika saya membaca buku Ihya’ Ulumiddin karya Hujjatul Islam al Ghazali, saya terjumpa satu perenggan yang agak mengejutkan saya dan mungkin menjadi jawapan kepada persoalan di atas tadi. Berikut saya terjemahkan kata-kata al Ghazali di dalam bukunya itu di mana al Ghazali menghuraikan pembahagian puasa kepada umum, khusus dan khusus al khusus.

Menurut beliau: (Ihya’ Ulumuddin, jilid 1, muka surat 221, cetakan 2001, Dar al Kutub al Ilmiyyah) : adapun puasa khusus al khusus, maka ia adalah puasa hati dari kehendak-kehendak duniawi dan pemikiran tentang dunia serta menahan hati dari selain Allah SWT secara mutlak. Dan puasa ini dibuka (batal) dengan memikir tentang sesuatu selain Allah Azza Wa Jalla dan hari akhirat serta (dibuka) dengan berfikir tentang dunia kecuali dunia yang dikehendaki padanya agama. Maka sesungguhnya dunia sebegitu adalah bekalan akhirat dan bukanlah ia sebenarnya dari dunia (yang dilarang). Sehingga berkatalah pakar-pakar hati (golongan sufi) : ‘sesiapa yang bergerak kehendak hatinya di siang hari ke arah merancang menyediakan makanan ketika berbuka, maka ditulis ke atasnya satu dosa’ kerana itu menandakan kurangnya keyakinannya kepada rezeki Allah Azza Wa Jalla dan kurangnya keyakinannya dengan rezeki yang telah dijanjikan’.


Wahai para pembaca sekelian, bolehkah anda menerima perkara sebegini? Adapun bagi sebahagian ahli tarekat dan tasawuf, perkara ini tidaklah susah untuk diterima kerana mereka mempunyai beberapa asas penting yang menyokong perkara ini. Asas tersebut antaranya ialah ‘Islam terbahagi kepada syariat dan hakikat’ dan ‘ahli fiqh berbincang soal zahir manakala ahli tasawuf berbincang soal batin’. Terdapat sebahagian ahli tarekat dan tasawuf yang memandang bahawa hukum fiqh adalah hukum zahir dan berlainan dengan hukum sebenar atau hukum hakikat. Oleh sebab itu mereka akan mewujudkan syarat-syarat yang dipanggil sebagai ‘rahsia-rahsia ibadah’ yang berlainan dengan syarat-syarat yang diletakkan oleh ahli fiqh untuk ibadah seperti solat, puasa dan sebagainya.


Persoalannya sekarang, apakah sumber yang digunakan oleh ahli fiqh sejak dahulu hingga kini dalam memutuskan rukun atau syarat ibadah? Jawapannya ada dalam perbahasan ilmu usul fiqh. Sumber yang mereka gunakan ialah Al Quran, hadith, ijmak, qiyas dan lain-lain lagi seperti yang boleh kita lihat dalam buku-buku usul fiqh. Walaupun terdapat buku-buku fiqh yang tersilap dalam mempraktikkan penggunaan sumber-sumber tersebut (contohnya tersalah dalam mentafsirkan ayat, tersalah dalam menggunakan hadith-hadith dhaif dan palsu dan lain-lain lagi), namun sebahagian besar ahli fiqh dalam buku-buku mereka sememangnya menjaga sumber dalam mengeluarkan hukum.

Apa-apa perkara yang tidak berdalil akan dikaitkan dengan dalil yang umum seboleh mungkin maka terhasillah khazanah ilmu yang terpelihara daripada khayalan, mimpi, ilham, atau idea-idea peribadi. Kalau begini sifat ahli fiqh dan kalau beginilah cara mereka mengeluarkan hukum fiqh, kenapa pula ahli tasawuf perlu mencari ‘hakikat’ atau rahsia batin bagi setiap hukum?


Kita boleh jadikan puasa sebagai contoh untuk memudahkan kita memahami perbezaan di antara dua aliran ini. Ahli tasawuf telah membahagikan puasa kepada beberapa bahagian iaitu puasa umum, khusus dan khusus al khusus. Puasa Umum adalah puasa orang awam atau orang biasa yang sekadar menyempurnakan rukun-rukun puasa seperti yang termaktub dalam buku-buku fiqh Islam. Puasa Umum ialah puasa yang mementingkan niat dan menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti yang dapat difahami dari Al Quran dan hadis-hadis sahih.


Puasa Khusus pula ialah puasa segolongan manusia yang menjaga diri dari perkara-perkara maksiat dan tidak hanya memenuhi rukun puasa seperti Puasa Umum. Mereka sentiasa menjaga diri dari perkara terlarang yang boleh dilakukan oleh anggota badan.


Puasa Khusus al Khusus adalah satu peringkat yang lebih tinggi. Mereka yang berpuasa sebegini dikatakan tidak pernah lalai dan lupa dari mengingati Allah SWT sepanjang puasa mereka. Hati mereka sentiasa mengingati Allah dan tidak pernah terlepas walau sesaat.


Inilah pembahagian puasa yang tidak saya temui melainkan di kalangan mereka yang mendakwa dari kalangan pelajar-pelajar tasawuf atau kesufian. Saya cuba melihat sebanyak mungkin ayat-ayat Al Quran berkaitan puasa dan hadis-hadis sahih yang menjelaskan mengenai puasa yang dikehendaki. Maka saya dapati bahawa Puasa Umum dan Puasa Khusus sedikit sebanyak mempunyai asas secara umum. Namun Puasa Khusus al Khusus langsung tidak disebutkan dan tidak dapat dicari dari manakah sumbernya.


Seperkara lagi, kalau kita menyatakan bahawa Puasa Umum adalah puasa yang paling rendah, maka seolah-olah kita memandang rendah kepada mereka yang berpuasa mengikut rukun dan syarat yang telah ditetapkan di dalam Al Quran dan hadis. Memang sudah semestinya kita menjaga diri dari perkara yang membatalkan puasa kerana itu telah termaktub di dalam Al Quran dan hadis-hadis sahih. Para sahabat sendiri terlalu berhati-hati menjaga agar puasa mereka tidak batal. Kenapa kita perlu menggambarkan puasa sebegini adalah puasa yang biasa atau rendah nilainya?


Kalau kita melihat kepada maksud Puasa Khusus pula, memang kita telah mengetahuinya dari Al Quran dan hadis-hadis sahih. Maksudnya, seseorang itu ketika berpuasa (dan juga ketika tidak berpuasa), wajib menjaga diri dari melakukan maksiat kerana maksiat adalah semua perkara yang melanggar ketetapan Alllah SWT dan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Maka di dalam Al Quran dan hadis sahih, sesiapa yang mengaku dirinya Muslim, wajib menjaga dirinya agar tidak melakukan maksiat, sama ada ketika berpuasa atau ketika tidak berpuasa. Untuk itu Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam telah bersabda : ‘mungkin seseorang itu berpuasa dan dia tidak mendapat balasan kecuali lapar’ – hadis sahih riwayat Ibn Majah (hadis no. 1690).


Melalui pembacaan, saya mendapati bahawa golongan sufi telah menjadikan Puasa Khusus al Khusus sebagai hak milik para wali dan kekasih Allah SWT (ini yang didakwa sebahagian golongan sufi). Mereka berpuasa dalam keadaan yang lebih tinggi dari manusia biasa. Mereka tidak pernah lupa pada Allah SWT dan tidak pernah lalai walau sedetik. Ini adalah dakwaan yang melampaui batas manusia biasa kecuali para Nabi dan Rasul.


Cuba para sahabat pembaca renungkan pembahagian ini dan juga pembahagian solat yang sah di sisi ahli fiqh tetapi tidak sah di sisi ahli tasawuf. Boleh anda terima double standard yang sebegini?


Sumber yang utama dalam kita menentukan sah atau tidaknya sesuatu ibadah berserta segala rukunnya dan syaratnya ialah Al Quran dan Sunnah. Ini telah menjadi satu ketetapan yang tidak diragui lagi. Rasulullah SAW sepanjang hayat Baginda telah selesai mengajarkan kepada kita segala yang perlu kita tahu tentang cara beribadah. Kenapa? Kerana Baginda adalah Rasul yang ditugaskan mengajar umatnya agar ibadah mereka betul dan diterima oleh Allah SWT. Ini bermakna, jika kita menumpukan ke arah mempelajari ibadah seperti yang terkandung dalam buku-buku hadith, itu adalah amat mencukupi kerana itulah intipati kandungan yang telah diajar oleh Rasulullah SAW. Oleh sebab itu, ulama-ulama fiqh terkenal seperti para imam mazhab (Abu Hanifah, Malik, al Syafie dan Ahmad) telah menegaskan bahawa asas utama ilmu mereka adalah Al Quran dan hadith. Di samping itu terdapat juga persoalan-persoalan yang dijawab oleh mereka berdasarkan ijtihad sendiri yang mereka lakukan mengikut asas-asas Al Quran dan hadith.


Tetapi agak menghairankan apabila kita lihat ahli tasawuf mampu mengeluarkan pendapat lain yang tersembunyi dan tidak nampak secara jelas daripada Al Quran dan hadith. Terdapat juga pendapat yang dikeluarkan berdasarkan hadith dhaif atau palsu (terdapat aliran yang mengkaji hadith secara ilham atau kasyaf, bukan berdasarkan kajian ilmiah seperti para ulama hadith). Ini semua menjadikan mereka berbeza daripada ahli fiqh dalam banyak tempat. Sehingga ada pendapat yang melampau dari sebahagian pengamal tasawuf : ‘Kamu ahli fiqh mengambil hukum daripada kertas (buku-buku) manakala kami mengambilnya daripada Allah’ dan ‘Kamu mengambil ilmu daripada orang yang telah mati (ulama terdahulu/periwayat hadith terdahulu) sedangkan kami mengambil ilmu daripada yang hidup dan tidak akan mati (Allah)’. Inilah yang menyebabkan mereka mampu mengeluarkan pendapat yang pelik kerana mereka boleh mengambil ilmu terus melalui mimpi, kasyaf dan ilham.


Pemahaman sebegini adalah salah dan mana-mana tarekat kesufian yang mempunyai unsur sebegini perlulah mengubahnya. Adapun tarekat yang tidak mempunyai pemahaman seperti yang saya terangkan di sini, maka anda tidaklah termasuk dalam golongan tersebut, alhamdulillah.


Semoga Allah memberikan kita hidayah ke arah menuntut ilmu daripada