Monday, July 31, 2006

Konsep Wahdatul Wujud

Menurut aqidah tasawuf, Wahdatul Wujud bererti tiada yang wujud di alam buana ini selain Allah. Segala bentuk rupa makhluk yang kelihatan hanyalah gambaran luaran bagi hakikat yang satu iaitulah hakikat Allah (تعالى الله عن ذلك علوا كبيرا). Kewujudan rupa bentuk hakikat ini di alam buana yang kelihatan itu adalah berbagai-bagai aneka. Tetapi alam buana ini, menurut aqidah batil yang mereka dakwakan itu, adalah Allah sendiri (تعالى الله عن ذلك).

Al-Hallaj umpamanya telah meluahkan aqidah ini secara terus terang seperti yang telah disebutkan di dalam siri yang lalu. As-Syibli juga telah menyebutkannya secara tidak langsung dan berputar belit. Sementara Al-Junaid pula telah menyebutnya dengan lebih berhati-hati dan cermat.

Pada mulanya aqidah ini tinggal tetap di dalam pengetahuan segolongan manusia tertentu yang dikatakan telah tiba di penghujung tarekat tasawwuf, tetapi mereka ini tidak mempernyatakannya kecuali melalui ungkapan–ungkapan yang berputar belit lagi kabur dan samar-samar pengertiannya, yang tidak difahami selain orang-orang yang sejalan dan sealiran dengan mereka, atau sama seperasaan dengan mereka dan yang berkebolehan menyingkap rahsia-rahsia kekaburan percakapan mereka!


Ibnu Arabi dan Dakwaannya.

Penghujung abad ke-enam hijriyah dan penjelangan abad ke-tujuh telah menyaksikan kemunculan seorang tokoh luar biasa yang telah menggubah aqidah ini dalam suatu bentuk yang lengkap dengan membawakan beribu-ribu contoh, menghasilkan cabang-cabangnya yang berlainan di dalam i’ktiqad dan fahaman, dan menyusun berpuluh-puluh buah buku mengenainya.

Tokoh tersebut ialah Mahyuddin bin Arabi yang meninggal dunia pada tahun 638 hijriyah. Beliau dibesarkan di Andalusia dan menetap di negeri Syam. Walaupun beliau telah dilabelkan sebagai kafir, mulhid, zindiq dan pendusta, namun aqidahnya dan mazhabnya telah mengangkat Ibnu Arabi sebagaimana beliau mengangkatkan dirinya sendiri ke martabat kewalian, malahan ke martabat penamat wali-wali dan martabat syeikh tasawuf teragung yang menghidupkan agama!!

Ibnu Arabi mendakwa beliau telah menaqal ilmunya dan kitab-kitabnya secara langsung dari Rasulullah s.a.w, dan menulis dari Luh Mahfuz tanpa perantaraan (wasitah). Beliau menggubah aqidah Wahdatul Wujud secara berani dan tanpa sebarang keraguan, tetapi dengan menyembunyikan kecacatan–kecacatan dan dengan keterangan-keterangan yang berputar belit. Beliau telah menyelewengkan pengertian ayat-ayat al-Qur'an dengan dakwaannya bahawa kaum Nabi Hud yang kafir itu mengikuti jalan yang lurus dan mereka sebenarnya bukan kafir ; Firaun adalah seorang mukmin yang sempurna keimanannya ; kaum Nabi Nuh yang menolak dakwah nabi mereka itu adalah orang-orang yang beriman dan Allah telah memberi balasan kepada mereka dengan menengelamkan mereka di dalam lautan banjir wahdah, serta memasukkan mereka ke dalam api neraka kecintaan ilahi agar mereka memperolehi kenikmatan bersenang lenang di dalamnya!

Nabi Harun telah melakukan kesalahan kerana melarang Bani Israel menyembah patung anak lembu yang mereka buat, sedangkan patung anak lembu itulah tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya, atau satu daripada bentuk-bentuk ma’bud yang sebenar!! Kaum Nabi Nuh adalah betul apabila mereka terus menyembah berhala Wad, Suwa’, Yaghuts, Ya’uq dan Nasr, kerana berhala-berhala itu ialah bentuk-bentuk luaran bagi tuhan yang satu! Api neraka itu suatu kenikmatan bukan siksaan! Setiap manusia itu dirahmati dan diredhai belaka tanpa pengecualian! Dan bahawa Allah tidak mengetahui apa-apa sebelum kewujudan-Nya kerana kewujudan sesuatu itu ialah kewujudan alam, bahkan kewujudan segala sesuatu adalah terjemahan bagi kewujudan Allah!!

Di sebalik dakwaan-dakwaan Ibnu Arabi yang karut dan biadap ini, dan di sebalik pendustaannya yang mendakwa bahawa beliau telah menaqal semua itu tanpa tambahan dan pengurangan dari Rasulullah s.a.w yang konon menyuruhnya sampaikan kepada manusia sekalian, anehnya beliau telah berjaya menarik ramai para penyokong dan pengikut sejak zaman penonjolannya hinggalah ke hari ini dari kalangan umat Islam yang setiap hari berkali-kali mengucapkan dua kalimah syahadah.