Wednesday, May 10, 2006

Hadith Yang Menjadi Hujah Ahli Tarekat

Berikut adalah hadith-hadith yang sering digunakan di kalangan ahli tarekat kesufian khusus untuk menyokong segala pemahaman atau amalan mereka yang berlainan daripada amalan yang biasa kita amalkan. Hadith-hadith ini menjadi hujah bagi mereka untuk membuktikan bahawa wujudnya ilmu khas yang membicarakan soal hati dan merekalah yang menguasai ilmu rahsia dan batin ini.

Contoh-contoh yang diberikan di sini juga membuktikan bahawa kebanyakan ahli tarekat dan tasawuf tidak memberikan penumpuan terhadap pengkajian hadith. Ini menyebabkan mereka menggunakan hadith-hadith yang dhaif dan palsu dalam penulisan dan percakapan mereka. Sikap ini perlu diubah kerana Islam ditegakkan dengan hujah yang sahih dan bukan hadith-hadith yang tidak dipastikan kebenarannya.

Saya juga menyebut di sini hadith-hadith dhaif dan palsu yang mungkin disalah anggap sebagai hadith sahih lalu dijadikan hujah untuk membenarkan perbuatan ahli tarekat kesufian yang melampau.


Ilmu itu ada dua: Ilmu di mulut yang menjadi hujah Allah ke atas hambaNya; dan ilmu hati, itulah ilmu yang bermanfaat – Hadith ini diriwayatkan oleh al Hakim al Tirmidzi (bukan Imam al Tirmdizi yang terkenal itu). Al Iraqi dalam al Mughni (takhrij hadith Ihya’ Ulumiddin) telah menyatakan bahawa hadith ini tidak bersambung sanadnya maka ia adalah dhaif. (al Mughni – hadith no.136)

Manusia semuanya mati kecuali orang yang berilmu, orang berilmu semuanya mati kecuali orang yang beramal, orang beramal semuanya mati kecuali orang yang ikhlas dan orang yang ikhlas itu berada pada kedudukan yang amat terancam – hadith ini adalah palsu seperti kata al Shoghoni. (Silsilah al Ahadith al Dhaifah – hadith no.76).

Ada ilmu yang tersembunyi dan hanya diketahui oleh orang yang berilmu tentang Allah. Apabila mereka menceritakannya kepada umum, mereka akan ditentang oleh orang-orang yang tertipu daripada mengenali Allah – hadith riwayat Abu Abd. Rahman al Salmi dalam buku al Arba’un al Sufiyyah dan lain-lain lagi. Ia adalah sangat dhaif kerana terdapat pelbagai kecacatan dari segi sanad. Ia dinyatakan sebagai dhaif oleh al Mundziri dan al Iraqi. (Silsilah al Ahadith al Dhaifah – hadith no.870).

Cinta dunia punca segala dosa – hadith palsu riwayat al Baihaqi dalam Syu’ab al Iman dan lain-lain lagi. Hadith ini dinyatakan oleh al Baihaqi bahawa ia bukan hadith yang benar-benar datang daripada Rasulullah SAW. Ia juga dinilai sebagai hadith palsu oleh al Suyuthi, al Munawi dan Ibn Taimiyyah. (Silsilah al Ahadith al Dhaifah – hadith no.1226).

Berhati-hatilah dengan firasat mukmin, sesungguhnya dia melihat dengan cahaya Allah – hadith ini riwayat al Tirmidzi dan lain-lain lagi. Di dalam sanadnya terdapat periwayat yang dhaif dan juga dengan kecacatan lain. Malah al Tirmidzi sendiri menyebut ia sebagai hadith yang gharib. Istilah ‘gharib’ sering digunakan oleh al Tirmidzi untuk mengisyaratkan kepada kedhaifan sesuatu hadith. (Silsilah al Ahadith al Dhaifah – hadith no.1821).

Sesiapa yang beramal dengan apa yang dia tahu, Allah akan berikannya ilmu yang dia belum tahu – riwayat Abu Nu’aim dalam Hilyatul Auliya’ dan lain-lain lagi dengan sanad yang palsu. Al Iraqi juga menolak kesahihan hadith ini dalam takhrij Ihya’ Ulumiddin. Abd. Fattah Abu Ghuddah juga menolak kesahihan hadith ini dalam semakannya terhadap buku ‘Risalatul Murstarsyidin’ karya al Muhasibi. (al Mughni – hadith no.168 dan Silsilah al Ahadith al Dhaifah – hadith no.422).

Menunggu dengan kesabaran apabila ditimpa musibah itu adalah ibadah (tidak berusaha) – hadith palsu riwayat al Qudhoi dalam Musnad al Shihab dan lain-lain lagi. (Silsilah al Ahadith al Dhaifah – hadith no.1572).

Dunia haram ke atas ahli akhirat, akhirat pula haram ke atas ahli dunia, dunia dan akhirat haram ke atas ahlullah (mereka tidak mahu syurga, mereka hanya mahu keredhaan Allah) – riwayat al Dailami dan lain-lain lagi. Ia adalah hadith palsu. (Silsilah al Ahadith al Dhaifah – hadith 32).

Hendaklah kamu semua bersedih kerana ia adalah kunci hati. Para sahabat bertanya: Bagaimanakah cara untuk bersedih? Maka dijawab oleh Baginda: tahanlah diri kamu daripada makan dan jadikanlah diri kamu sering dahaga – riwayat al Thabarani dan lain-lain. Hadith ini mengandungi periwayat yang dhaif. (Silsilah al Ahadith al Dhaifah – hadith no.1468).

Kisah Nabi Ibrahim ketika ditangkap dan ingin dimasukkan ke dalam api, Jibril datang kepadanya lalu menyuruhnya berdoa kepada Allah, tetapi Ibrahim tidak mahu kerana baginya Allah telah tahu keadaannya – Hadith palsu sebagaimana kata Ibn Arraq. (Silsilah al Ahadith al Dhaifah – hadith no.21). bagi sesetengah tarekat, mereka menganggap bahawa berdoa itu tanda kurang keyakinan terhadap Allah!

Hadith – tentang solat sunat tertentu yang tidak ada di dalam hadith-hadith sahih seperti solat sunat Nisfu Syaaban, solat sunat Rejab (kedua-duanya dilabelkan sebagai bid’ah oleh al Nawawi dan ulama lain), solat sunat hari Ahad, Isnin dan seterusnya, solat malam Ahad, Isnin dan seterusnya (al Iraqi telah mengkaji dan memutuskan bahawa solat-solat hari dan malam sepanjang minggu adalah hadith-hadith yang palsu dan dhaif, tiada yang sahih) dan bermacam-macam lagi solat sunat seperti solat sunat Raghaaib (solat pada jumaat pertama bulan Rejab) dan lain-lain lagi. Solat sunat mestilah diambil daripada hadith-hadith sahih, bukan hadith palsu atau dhaif. (al Bid’ah wa Atharuha al Sayyi’ ‘Ala al Ummah, Salim al Hilali).

Banyakkanlah berzikir sehingga orang akan mengatakan kamu gila – hadith riwayat al Hakim, Ahmad dan lain-lain lagi. Sanadnya mengandungi periwayat yang dhaif. (Silsilah al Ahadith al Dhaifah – hadith no.517).


Semoga mereka yang mengikuti tarekat berhati-hati ketika menemui hadith-hadith yang digunakan oleh guru tarekat mereka atau disebut dalam buku-buku tarekat dan tasawuf.

Di samping itu, mereka juga perlu melihat huraian hadith-hadith sahih daripada buku-buku huraian hadith seperti Fathul Bari huraian Sahih al Bukhari karya Ibn Hajar al Asqalani, al Minhaj huraian Sahih Muslim karya al Nawawi, Aun al Ma’bud huraian Sunan Abu Daud karya al Azhim Abadi dan lain-lain lagi. Jangan sesekali mengabaikan huraian para ulama hadith terkenal lantas terus menggunakan tafsiran ‘rahsia’ atau ‘batin’ terhadap setiap hadith. Contohnya kisah Rasulullah SAW menerima wahyu di GuaHira’ sememangnya sahih, tetapi ada tarekat yang menjadikannya dalil untuk mereka bertapa atau bersuluk di dalam gua dan tempat terpencil bagi mendapatkan ilmu daripada Allah SWT. Begitu juga kisah Rasulullah SAW dibedah dadanya oleh para malaikat dijadikan hujah bagi mereka untuk membuat pembedahan rohani di tangan guru-guru tarekat dengan amalan-amalan yang khusus. Begitu juga mereka mengambil contoh kehidupan para sahabat yang miskin sedangkan terdapat para sahabat yang kaya dan berharta tidak diketengahkan. Insya Allah, saya akan cuba menulis pada masa akan datang tentang ayat-ayat Al Quran dan hadith-hadith sahih yang disalah tafsir oleh ahli tarekat dan dijadikan hujah untuk mereka bagi mempromosikan tarekat masing-masing.

Secara mudah, saya menasihati sesiapa sahaja supaya menyemak dahulu kesahihan sesuatu hadith, kemudian mempelajari maksud hadith tersebut sebelum beramal dengannya.


Semoga tulisan ringkas ini bermanfaat untuk pembacanya, insya Allah.

No comments: