Wednesday, May 10, 2006

Kesilapan Sebahagian Ahli Tarekat

Berikut adalah contoh-contoh kesilapan sebahagian ahli tarekat kesufian:


1.Rasa hati, mimpi dan ilham sebagai hujah atau dalil dalam syariat Islam

Di dalam Islam, rasa hati dan ilham bukan sumber dalam menentukan yang baik dan yang salah. Ia juga bukan dalil dalam menentukan hukum sesuatu amalan sama ada benar atau salah. Hukum tertinggi dalam Islam ialah Al Quran dan hadith sahih. Itulah yang menjadi pegangan kita dalam menjalani kehidupan sebagai seorang muslim. Kalau diikutkan rasa hati, sudah pasti ukuran seseorang manusia dan penilaiannya berbeza dengan manusia lain. Pernah beberapa orang sahabat Rasulullah SAW memandang sesuatu perkara sebagai baik, tapi Rasulullah SAW membetulkan mereka dan menjelaskan bahawa baik atau tidak adalah berasaskan hukum syariat dan bukan perasaan mereka.

Contohnya seperti Abdullah Ibn Umar yang tidak menerima kata-kata Rasulullah SAW tentang puasa. Rasulullah SAW menyatakan bahawa had yang paling kerap untuk berpuasa sunat ialah seperti puasa Nabi Daud alaihissalam yang berpuasa dan berbuka secara berselang. Abdullah Ibn Umar menyatakan bahawa beliau boleh melakukan yang ‘lebih baik’. Maka Rasulullah SAW menjawab: ‘Tiada lagi yang lebih baik’. (Hadith riwayat al Bukhari no.1976 dan Muslim no. 2786).

Contoh lain ialah kisah tiga orang lelaki yang bertanyakan kepada isteri Rasulullah SAW tentang ibadah Rasulullah SAW. Ketiga-tiga lelaki itu telah nekad untuk melakukan amalan yang lebih bertujuan untuk menjadi orang yang soleh. Seorang ingin berpuasa setiap hari, seorang lagi ingin solat tahajjud setiap malam atau sepanjang malam dan seorang lagi tidak mahu berkahwin kerana tidak ingin diganggu untuk beribadah. Rasulullah SAW menegur mereka dan menyuruh mereka mengikut cara Baginda iaitu berselang seli ketika berpuasa, bertahajjud pada sebahagian malam sahaja dan juga berkahwin. (Hadith riwayat al Bukhari no.5063).

Satu lagi contoh ialah seorang lagi sahabat Nabi SAW yang dipanggil dengan nama Abu Israil melakukan satu bentuk ibadah yang pelik: berpuasa, di tengah panas terik, sambil berdiri dan tidak bercakap dengan sesiapa pun. Maka Rasulullah SAW menyuruhnya supaya bercakap, mencari tempat teduh, duduk dan menyempurnakan puasanya. (Hadith riwayat al Bukhari no.6704).

Tiga contoh ini menunjukkan bahawa Islam merupakan sumber rujukan dan bukannya rasa hati, ilham, akal dan sebagainya. Persoalan dosa pahala, benar salah, afdhal atau tidak adalah persoalan yang memerlukan kepada dalil daripada Al Quran dan hadith sahih. Tiga contoh ini juga menjadi bukti bahawa Islam ini mudah dan memudahkan. Tidak seperti fahaman ahli tarekat yang menyatakan bahawa ibadah mesti dilakukan dengan cara yang seolah-olah menyusahkan, menyiksa atau memberatkan untuk mendapat pahala yang lebih.

Mimpi juga bukanlah satu sumber dalam menentukan hukum atau menentukan kebenaran atau kebatilan. Mimpi manusia biasa seperti kita tidak sama nilainya seperti mimpi para Nabi dan Rasul yang merupakan wahyu. Namun begitu masih kita dapati ahli tarekat yang menjadikan mimpi sebagai sumber ilmu dan seringkali berlaku percanggahan antara dalil Al Quran dan hadith dengan mimpi-mimpi tersebut. Sekiranya semua orang boleh menggunakan mimpi, maka bercanggahlah amalan dan ilmu antara seorang muslim dengan muslim yang lain. Oleh sebab itu, Al Quran dan hadith sahih merupakan dalil yang menjadi rujukan utama agar semua umat Islam dapat bersatu di bawah kebenaran yang bersumberkan wahyu.


2-Ketaatan mutlak pada syeikh tarekat

Kaedah yang mudah untuk kita memahami cara mentaati makhluk ialah sebuah hadith sahih daripada Rasulullah SAW yang bermaksud: ‘Tidak ada ketaatan pada makhluk pada perkara maksiat terhadap Allah SWT’. (Hadith riwayat Ahmad no.1077 dengan sanad yang disahihkan oleh al Albani), dan sebuah lagi hadith yang bermaksud: ‘Tidak ada ketaatan pada perkara maksiat, ketaatan hanya pada perkara ma’ruf (dibenarkan syarak)’. (Hadith riwayat al Bukhari no.7257 dan Muslim no.4871).

Sebahagian ahli tarekat diajar supaya mentaati syeikh dalam usaha atau perjalanan mereka untuk membersihkan jiwa mereka. Mereka diajar supaya berada di hadapan syeikh seolah-olah satu mayat di hadapan orang yang memandikannya. Mereka juga diajar bahawa sesiapa yang bertanya ‘kenapa’ kepada syeikhnya, dia tidak akan berjaya dalam membersihkan jiwanya. Syeikh mesti ditaati kerana syeikh tahu apa ubat untuk penyakit hati setiap muridnya. Hakikatnya, para pembaca perlu tahu bahawa pemilihan guru tarekat adalah secara warisan dan dipilih oleh guru tarekat sebelumnya. Maka pemilihan ini akan dibuat berdasarkan ‘ketaatan’ dan ‘kesetiaan’. Inilah yang berlaku pada hampir kesemua tarekat kesufian. Saya pernah berbual dengan orang-orang yang terlalu taksub kepada syeikh masing-masing dan saya dapati merekalah yang berlebih-lebih dalam mempertahankan sebarang kekurangan yang ada pada syeikh mereka. Imam Malik telah berpesan bahawa ‘setiap orang boleh diterima dan ditolak pendapat mereka kecuali Rasulullah SAW’. Pesanan sebegini tidak ada di dalam kebanyakan tarekat.

Satu hakikat penting yang perlu diketahui bersama ialah syeikh-syeikh kebanyakan tarekat tidak mempunyai ilmu yang mendalam berkaitan Al Quran dan hadith, tetapi mereka mempunyai ilmu yang mendalam tentang istilah-isitilah kesufian dan mahir dalam mempraktikkan cara yang telah diwarisi daripada syeikh-syeikh sebelumnya. Maka ketaatan kepada golongan sebegini perlulah diikat dengan Al Quran dan hadith. Mana-mana perbuatan yang dilakukan oleh syeikh mestilah dinilai sebelum diterima atau diikuti. Terdapat sesetengah tarekat yang menganggap bahawa syeikh tahu segala-galanya dan setiap gerak-gerinya adalah mengikut syarak walaupun di mata kita syeikh tersebut melanggar syarak, itu hanyalah pandangan zahir semata-mata. Anggapan ini adalah salah kerana kita mengukur semua manusia dengan amalan zahir yang telah dijelaskan sempadannya dan batasannya oleh Al Quran dan hadith sahih.


3-Pembahagian Islam kepada Syariat dan Hakikat dan Ilmu Ladunni

Satu lagi perkara yang sering disebut-sebut di kalangan orang-orang tarekat kesufian ialah kebolehan mereka memahami Hakikat sedangkan orang-orang lain termasuklah sesiapa yang mempelajari Islam secara bermetod dan bermanhaj hanya memahami Syariat. Syariat bagi mereka adalah zahir manakala hakikat ialah batin. Pembahagian ini mengandungi perkara yang agak pelik iaitu: Hanya orang-orang tarekat dan ahli tasawuf sahaja yang akan berjaya mengorek rahsia ilmu hakikat. Kemampuan mereka bukan bergantung kepada ilmu atau kemahiran tetapi kepada martabat atau maqam mereka yang akan mereka sampai padanya melalui latihan zikir dan pembersihan hati.

Ahli tarekat akan berjaya melihat kepada dimensi Hakikat apabila hati mereka bersih dan ini melibatkan satu lagi permasalahan iaitu : mereka diajar terus secara lansung oleh Allah SWT. Walaupun tidak semua tarekat mempunyai kepercayaan sebegini, tetapi kebanyakan ahli tarekat akan bercakap soal ‘ilmu ladunni’ iaitu ilmu yang diajar kepada ahli zikir dan ahli tarekat dan sumbernya terus daripada Allah.

Saya pernah berbual dengan seorang pengamal tarekat dan dia berkata bahawa Allah akan mengajarnya ilmu agama seperti mana Allah mengajar semua manusia cara mereka merangkak seterusnya berjalan. Apabila saya bertanya kepadanya kenapa dia tidak tahu berbahasa Arab, dia menjawab bahawa Allah belum lagi mengajarnya Bahasa Arab. Lihatlah kepada pemikiran yang melucukan ini. Bagi mereka, ilmu keduniaan perlu dipelajari dengan metodologi dan usaha. Tetapi ilmu agama adalah proses yang merupakan kurniaan daripada Allah tanpa perlu bersusah payah menuntut ilmu daripada para ulama.

Mereka suka membandingkan diri mereka dengan para Nabi dan Rasul yang dikurniakan wahyu. Sedangkan tiada lagi Nabi dan Rasul selepas Rasulullah SAW. Ahli tarekat yang begini pendapatnya akan menafsirkan Islam ini dengan dua sifat atau dua bentuk: Syariat atau Hakikat. Apabila menafsirkan Al Quran, akan ada tafsir zahir dan tafsir batin. Apabila menafsirkan maksud hadith, akan ada maksud zahir dan maksud batin. Terdapat juga kata-kata yang sering ditemui di kalangan ahli tarekat iaitu: sesiapa yang melihat perbuatan ahli tarekat dengan mata Syariat akan marah tetapi sesiapa yang melihat dengan mata Hakikat akan setuju. Maksudnya, mungkin pada mata kita seorang ahli tarekat melakukan perkara yang salah atau berdosa. Namun itu hanyalah pada pandangan mata Syariat. Mata Hakikat akan melihat bahawa mereka melakukan satu perkara baik seolah-olah mereka berada di alam lain.


4- Bentuk Zikir yang berlainan dengan cara Rasulullah SAW dan para sahabat

Satu lagi perkara yang menghairankan ialah kebanyakan tarekat mempunyai cara zikir yang berbeza dengan cara yang ditemui di dalam hadith-hadith Rasulullah SAW dan juga kisah hidup para sahabat. Mereka berzikir dalam majlis yang agak tersembunyi daripada orang ramai, berzikir dengan cara yang agak pelik seperti berzikir dengan suara terlalu lantang, berzikir sambil bangun dan berdiri, berzikir sambil membuat pusingan dalam kumpulan, berzikir sambil menari, berzikir dengan diiringi kompang dan tepukan, berzikir dalam gerak badan yang terlalu kasar, berzikir sampai pengsan atau terjatuh dan sebagainya. Semuanya ini tidak dilakukan oleh Rasulullah SAW atau para sahabat.

Lihatlah hadith-hadith yang menceritakan keadaan Rasulullah SAW dan para sahabat berzikir dan hadith-hadith itu termaktub di dalam buku-buku hadith seperti Sahih al Bukhari, Sahih Muslim dan lain-lain lagi. Kenapa ahli tarekat masih melakukan zikir dengan cara yang berlainan dengan cara Rasulullah SAW? Bukankah mereka menyatakan bahawa mereka mengikut cara yang dibawa oleh Rasulullah SAW? Bukankah mereka mendakwa bahawa cara zikir dan lafaz zikir yang mereka amalkan kebanyakannya diambil daripada para sahabat?

Zikir adalah ketenangan, tetapi dalam tarekat kesufian,zikir seumpama latihan fizikal yang sukar dibuat dalam keadaan tenang. Zikir adalah mengingati Allah, tetapi dalam sesetengah tarekat kesufian, zikir bagi mereka adalah hilang ingatan, pengsan dan sebagainya. Cara terbaik ialah cara Rasulullah SAW. Cara itulah yang diwarisi oleh generasi terbaik iaitu para sahabat. Cara itu ialah berzikir dalam keadaan sedar, penuh fokus dan juga tidak keterlaluan dan penuh ketenangan. Zikir yang dilakukan oleh para sahabat juga adalah zikir menggunakan lafaz yang diajar oleh Rasulullah SAW. Tetapi para ahli tarekat sesetengahnya kita dapati mereka berzikir dengan lafaz yang tidak diajar oleh Rasulullah SAW seperti zikir Allah, Allah, Allah atau Hu, Hu, Hu, atau zikir dengan sajak-sajak atau syair-syair guru mereka. Inikah cara terbaik dalam berzikir? Para pembaca boleh menilai dengan baik, insya Allah.


Semoga bertemu lagi dalam tulisan akan datang, insya Allah.

No comments: