Wednesday, August 09, 2006

Antara Isi Kandungan Fususul Hikam.

Seperti mana yang telah disebutkan, buku “Fususul Hikam” merupakan himpunan seluruh aqidah kepercayaan Ibnu Arabi. Ia menyentuh hal-hal mengenai Allah, agama-agamanya, hidayah serta nur yang diperolehi oleh Ibnu Arabi secara langsung dari sumbernya yang asal menurut dakwaannya. Di bawah ini diperturunkan sebahagian dari dakwaan-dakwaannya yang terkandung di dalam bukunya itu.

Ibnu Arabi mendakwa bahawa kaum Nabi Nuh a.s. telah memberikan jawapan yang betul dan benar kepada Nabi Nuh apabila mereka mengatakan Nabi Nuh a.s. telah memperdayakan mereka, lalu mereka memperdayanya balik, dan bahawa pegangan mereka kepada berhala–berhala sembahan mereka itu adalah pegangan yang hak mahu di hapuskan oleh Nabi Nuh a.s! Di antara ungkapan Ibnu Arabi mengenai hal ini ialah :

“Orang yang berilmu mengenai Allah tahu apa yang diisyaratkan Nabi Nuh a.s. mengenai hak-hak kaumnya dengan memuji mereka melalui kata-kata celaan ke atas mereka. Nabi Nuh a.s. tahu bahawa mereka tidak menyahut dakwahnya disebabkan mengandungi Furqan (pemisah di antara haq dan batil) sedangkan perintah itu ialah al-Qur'an bukan Furqan. Barang siapa yang telah ditegakkan dengan al-Qur'an tentunya ia tidak mendengar kepada Furqan, walaupun Furqan itu terdapat di dalam al-Qur'an. Nabi Nuh a.s. menyeru mereka dengan tujuan untuk mengumpulkan mereka bukan untuk mendedahkan kesalahan mereka, dan mereka memahaminya.


Kerana itu mereka meletakkan jari di telinga masing-masing dan menutup kepala mereka dengan kain. Semua ini merupakan gambaran perlindungan yang diserukan Nabi Nuh a.s. kepada kaum nya, dan mereka telah menjawab seruannya itu dengan perbuatan bukan dengan lafaz Labaik (Ya! Kami menyahut seruan mu! – penulis).

“Nabi Nuh a.s. berkata di dalam pesanan hikmatnya kepada kaumnya : “يُرْسِلِ السَّمَاء عَلَيْكُم مِّدْرَاراً” iaitu “Dia mengutuskan langit kepada kamu dengan makrifat makrifat aqliah di dalam pengertian dan pengamatan”. “وَيُمْدِدْكُمْ بِأَمْوَالٍ” iaitu “Dia membekalkan kamu dengan apa yang mencorakkan kamu kepadaNya.” Barang siapa berkhayal telah melihat-Nya, ia sebenarnya tidak tahu. Adapun siapa di antara kamu yang tahu ia telah melihat dirinys sendiri, maka ia itulah yang mengetahui atau yang arif.” (Fususul Hikam, halaman 71).

Di sini ternyata Ibnu Arabi secara berani mentafsirkan … مِّدْرَاراً… yang bererti hujan dan kesuburan yang merupakan hasil amalan soleh, ketaqwaan, keimanan dan istighfar itu sebagai makrifat, aqliah, dan mentafsirkan “ِأَمْوَالٍ” bererti iaitu harta benda sebagai sesuatu yang mencederungkan kaum Nabi Nuh a.s. kepadanya, lalu mereka dapat melihat bentuk mereka padanya! Inilah konsep Wahdatul Wujud. Kerana itulah kemudian Ibnu Arabi berkata “Maka barangsiapa di antara kamu berkhayal telah melihatnya, ia sebenarnya tidak tahu. Adapun sesiapa di antara kamu yang telah melihat dirinya sendiri, maka ia itulah yang mengetahui atau yang arif!”

Kemudian Ibnu Arabi berkata lagi mengenai firman Allah “وَمَكَرُوا مَكْراً كُبَّاراً” (Dan mereka telah menipu daya tipuan yang besar”). Ini adalah sesuatu penipuan terhadap pihak yang didakwah. Nabi Nuh a.s. berkata: “Aku menyeru kepada Allah, ini adalah suatu tipu daya dalam keasliannya. Lalu mereka menjawap Nabi Nuh a.s. dengan suatu tipu daya juga seperti mana ia menyeru mereka.” (Fususul Hikam, halaman 72)

Di sini pembaca dapat menanggap bagaimana Ibnu Arabi telah menjadikan dakwah kepada Allah itu suatu cara tipu daya terhadap pihak-pihak yang didakwah, bahkan ianya tipudaya yang sejati! Kemudian Ibnu Arabi menerangkan pula jenis tipu daya yang dibalas oleh kaum Nabi Nuh a.s. kepada nabi mereka itu dengan berkata: “Lalu mereka pun berkata di dalam tipu daya mereka: Janganlah kamu tinggalkan tuhan-tuhan kamu! Dan janganlah kamu tinggalkan Wad, Suwa’ Yaghuts, Ya’uk, Nasr! Sesungguhnya jika mereka meninggalkan tuhan-tuhan mereka bererti mereka jahil tentang al-Haq mengikut kadar mereka meninggalkannya. Kerana sesungguhnya al-Haq itu ada wajahnya pada semua ma’bud (yang disembah) yang diketahui oleh sesiapa yang mengetahui, dan dijahili oleh sesiapa yang jahil ……. Tidak disembah selain Allah pada setiap ma’bud.” (Fususul Hikam, halaman 73)

Ini menunjukkan Ibnu Arabi telah menjadikan berhala-berhala yang disembah oleh kaum Nabi Nuh a.s. itu sebagai tuhan-tuhan yang sebenar kerana menurutnya berhala–berhala itu merupakan satu daripada wajah–wajah Allah Yang Maha Haq. Dengan itu mereka sebenarnya adalah menyembah Allah!!

No comments: