Wednesday, August 09, 2006

Buku Fususul Hikam

Di dalam bukunya Fususul Hikam yang merupakan penamat karya-karyanya dan penghimpun seluruh aqidah kepercayaannya, Ibnu Arabi merakamkan di dalam kata-kata pendahuluannya sebagai berikut:

Amma Ba’du, Sesungguhnya aku telah melihat Rasulullah s.a.w berwajah gembira. Aku mimpikannya pada sepuluh terakhir bulan Muharram tahun 627 di Mahrusah, Damsyik, dan di tangannya ada sebuah kitab. Baginda berkata: “Ini ialah kitab Fususul Hikam. Ambillah dan terbitkanlah kepada orang ramai supaya mereka manfaatkannya.” Aku menjawab: “Kami dengar dan kami patuh kepada Allah dan rasul-Nya serta ulil amri dari kalangan kami seperti mana yang diperintahkan kepada kami.”

Kemudian Ibnu Arabi berkata lagi, “Lalu aku laksanakan harapan itu, aku tuluskan niat dan aku betulkan tekad dan tujuan untuk menonjolkan kitab ini seperti mana yang ditetapkan oleh Rasulullah s.a.w tanpa tambahan dan kekurangan.” (Fususul Hikam, halaman 47, Cetakan Beirut).

Di halaman lain selepas menyebut maudu’–maudu’ kitab itu, Ibnu Arabi berkata: “Aku berpada menyebut hikmah di dalam kitab ini mengikut yang telah sabith di dalam Ummul Kitab (al-Qur'an–penulis). Aku mengikuti mana yang telah digariskan kepadaku dan aku berhenti setakat mana yang telah ditetapkan kepadaku. Andainya aku mahu menambahkan lebih dari itu nescaya aku tidak bermaya melakukannya kerana hadhrat menahanku berbuat demikian.” (Fususul Hikam, halaman 58)

Di dalam bab فص حكمة علوية في كلمة موسوية “ (Permata Hikmah Tertinggi Pada Kata-Kata Nabi Musa), Ibnu Arabi berkata: “Insya Allah, aku akan menyebutkan sebahagian darinya di dalam kitab ini mengikut sekadar perintah Ilahi yang terlontar di dalam hatiku. Ia adalah yang pertama sekali di pertuturkan kepada ku di dalam bab ini.” (Fususul Hikam, halaman 58)

Petikan-petikan dari Muqadimmah buku “Fususul Hikam” ini, juga dari celah-celah lembaran yang lain, menyarankan kepada kita ketegasan Ibnu Arabi yang mendakwa bahawa beliau telah menaqal secara langsung dari Allah bahkan secara mulut, terus dari Luh Mahfuz dan dari Rasulullah s.a.w yang menyuruhnya, di dalam mimpi yang didakwanya itu, supaya menerbitkan buku tersebut kepada orang ramai.


No comments: