Ibnu Arabi telah mengukuhkan aqidahnya yang batil ini dengan dalil-dalil dan hujah-hujah yang ternyata mudah dipatahkan. Tetapi beliau dan kuncu-kuncunya sering mengelirukan orang ramai dengan mendakwa percakapan mereka tidak dapat difahami kecuali oleh sesiapa yang mempunyai perasaan dan citarasa yang sama serta mengenal makrifat mereka.
Sedangkan apa yang diperkatakan oleh Ibnu Arabi dan kuncu-kuncunya itu tidak lebih dari aqidah falsafah yang terdapat di dalam berpuluh-puluh buah buku falsafah. Seperti mana yang diketahui umum, aqidah falsafah itu mengandungi ajaran-ajaran yang boleh mengubah aqidah sebenar kaum muslimin mengenai Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang bersifat sempurna di dalam segala-galanya yang tidak diserupai oleh sesiapa dari kalangan makhluk-Nya, bahkan Dialah Allah Yang Maha Esa Lagi Tunggal, yang menjadi tumpuan segala permohonan, yang tidak beranak dan tidak diperanakkan, dan tiada suatu pun yang setanding dengan–Nya!
Sewaktu menjelaskan aqidahnya yang salah itu, Ibnu Arabi telah menggunakan sepotong hadith maudu’ “من عرف نفسه فقد عرف ربه” (barang siapa telah mengenal dirinya maka sesungguhnya ia telah mengenal tuhannya), dengan berkata: “Nabi a.s. telah bersabda: ”Barang siapa mengenal dirinya, maka ia mengenal tuhannya! Baginda adalah orang yang paling mengetahui tentang Allah. Para hukama’ dan Abu Hamid telah mendakwa mengenai tuhan tanpa melihat kepada alam ini adalah salah. Ya, anda telah mengenal zat Qadim yang azali. Anda tidak mengenal ianya tuhan melainkan sehingga dikenali yang dituhankan. Itulah dalilnya. Kemudian selepas ini, di dalam hal yang kedua, anda dikasyafkan bahawa al-Haq sendiri itulah yang menjadi dalil bagi dirinya dan ketuhanannya.
Alam ini hanyalah keserlahannya dalam bentuk-bentuk ain yang tetap yang mustahil berlaku kewujudannya tanpa keserlahannya itu. Keserlahannya berbagai-bagai dan berupa-rupa mengikut hakikat ain-ain tersebut dan keadaannya. Ini selepas kita tahu bahawasanya ia adalah tuhan bagi kita. Kemudian datang pula kasyaf yang lain yang melahirkan kepada anda bentuk-bentuk rupa kita pada-Nya. Maka lahirlah kita sesetengah kita pada pandangan setengah yang lain di dalam al-Haq, dan dengan itu kenallah kita satu sama lain.” (Fususul Hikam, halaman 81-82)
Di sini Ibnu Arabi telah menyangkal Imam al-Ghazali dan sesetengah ahli tasawwuf yang lain yang mengatakan bahawa mengenal al-Haq itu tidak disyaratkan memandang kepada alam buana, bahkan ia datang secara langsung melalui kasyaf tanpa bergantung kepada alam buana yang kelihatan di depan mata sebagai bukti Allah Subhanahu Wa Ta’ala penciptanya. Ibnu Arabi mengatakan cara ini hanya untuk mengenal zat Qadim yang azali sahaja. Untuk mengenal al-Haq, perlulah melalui perbuatan memandang alam buana, agar anda mengetahui apa yang anda saksikan itu ialah al-Haq.
Bentuk-bentuk rupa yang disaksikan di alam buana itulah sebenarnya al-Haq atau Allah, dan itulah buktinya, menurut Ibnu Arabi. Kemudian timbullah kasyaf yang lain di mana manusia itu sendiri merasakan dirinya sebagai satu daripada bentuk-bentuk rupa al-Haq. Pada ketika itu ia mengenal dirinya dan seterusnya mengenal tuhannya. Ia tahu dirinya itulah Allah dan seterusnya mengetahui Allah itu ialah setiap yang wujud!! Demikian kesimpulan Ibnu Arabi.
Selain dari itu Ibnu Arabi juga telah menjadikan kambing kibas yang diturunkan Allah untuk disembelih Nabi Ibrahim a.s. menggantikan anaknya Nabi Ismail a.s. itu sebagai Allah. (Fususul Hikam, halaman 84) Ini berdasarkan kepada aqidah wahdatul wujud yang batil itu. Bahkan ketelanjuran dan kebiadapan Ibnu Arabi begitu menjolok sehingga beliau tidak teragak-agak mendakwa bahawa al-Haq tidak dapat disaksikan dengan sepenuhnya dan tidak diketahui dengan sepenuhnya makrifat kecuali pada diri wanita ketika dalam kelazatan dan syahwat!! (Fususul Hikam, halaman 217-218)
Pendedahan mengenai aqidah Ibnu Arabi yang salah ini dibuat memandangkan kuncu-kuncunya dan penyokong-penyokongnya masih terus terdapat pada masa kini dengan menganggapkan penyeru-penyerunya sebagai wali-wali dan mengkafirkan sesiapa yang menentangnya. Adalah dibimbangkan mereka ini berjaya menyusup masuk di pusat-pusat yang bertanggungjawab dengan dakwah Islamiah di sesetengah negara Islam dan mencemari fikiran orang ramai dengan aqidah yang batil itu tanpa disedari.
Wednesday, August 09, 2006
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment