Wednesday, August 09, 2006

Orang Kafir Dikatakan Beriman

Untuk mendedahkan lagi kemungkarannya, Ibnu Arabi mengakui pula kebenaran kaum Nabi Nuh a.s. yang sesat lagi berdosa itu, bahkan beliau menganggapkan semua orang kafir di muka bumi sebagai orang-orang yang beriman dan mentauhidkan Allah, juga sebagai golongan ‘arifin yang berhubungan secara langsung dengan Allah.

Sebaliknya pula beliau mendakwa orang-orang mukmin itu hanya beriman kepada sebahagian kebenaran sahaja dan kufur pada bahagian-bahagian yang lain. Ibnu Arabi juga tidak melupakan Firaun yang dikenali oleh dunia sebelum Ibnu Arabi sebagai manusia paling kafir dan paling zalim, tetapi Ibnu Arabi memasukannya di dalam golongan orang-orang mukmin yang mentauhidkan Allah serta memperolehi syurga. Mengenai hal ini Ibnu Arabi berkata antara lain:

“Oleh kerana Firaun memegang jawatan pemerintah maka dialah pemilik waktu. Dia seorang khalifah dengan kekuatan mata pedang walaupun ia jahat mengikut kebiasaan undang-undang, kerana itu ia berkata: “Aku tuhan kamu yang tertinggi”.


Andainya segala-gala itu merupakan tuhan-tuhan berdasarkan kepada sesuatu, tetapi aku adalah tuhan kamu yang tertinggi dari kalangan mereka, kerana pada lahirnya aku telah memberinya kuasa pemerintahan ke atas kamu, dan apabila ahli-ahli sihir mengetahui kebenarannya di dalam kata-katanya itu dan mereka tidak mengingkarinya bahkan menyetujuinya dengan berkata: “Sesungguhnya engkau memerintah kehidupan dunia ini, maka hukumlah apa yang engkau mahu hukumkan! Kerajaan itu kepunyaan mu”, maka betullah kata-kata itu: “Aku ialah tuhan kamu yang tertinggi”. (Fususul Hikam,halaman 210-211).

Kata-kata Ibnu Arabi ini setara dengan kata-kata al-Hallaj mengenai Firaun seperti mana yang telah disebutkan di dalam siri yang terdahulu. Ini membuktikan bahawa aqidah yang didakwakan oleh golongan bertasawuf itu adalah sama saja. Selain dari itu, seperkara lagi yang harus disedari pembaca ialah tentang keceluparan Ibnu Arabi menyebut bahawa Firaun itu khalifah dengan kekuatan mata pedang. Beliau telah menqiaskan Firaun sebagai “Khalifah” dengan lafaz khalifah di dalam firman Allah kepada Nabi Daud a.s. : “يَا دَاوُودُ إِنَّا جَعَلْنَاكَ خَلِيفَةً فِي الْأَرْضِ “ (Surah Shad, Ayat 26) Maksudnya lebih kurang: “Wahai Daud! Sesungguhnya kami telah menjadikan engkau khalifah di muka bumi.”

Sedangkan Khalifah Nabi Daud a.s. itu ialah khalifah kenabian dari kurniaan Allah, sementara Firaun ialah seorang raja yang terkenal zalim dan jahat di dalam sejarah pemerintahan negeri Mesir! Di samping itu Ibnu Arabi telah melebihkan syariat Nabi Musa a.s. itu sebagai “uruf” iaitu apa yang diketahui oleh Nabi Musa a.s. sahaja, tidak lebih dari itu. Kerana itulah sesetengah golongan bertasawuf menuduh Nabi Musa a.s. bersifat jahil, sebaliknya menganggapkan Firaun sebagai berilmu dan bermakrifat!

Berdasarkan kepada aqidah yang batil itu jugalah Ibnu Arabi membenari sikap as-Samiri dan tindakannya membuat patung anak lembu yang telah mempersonakan Bani Israel sehingga mereka menyembahnya sebagai ganti menyembah Allah! Ibnu Arabi telah menyalahkan Nabi Harun a.s. kerana dikatakan tidak mengenal al-Haq dan mengingkari perbuatan Bani Israel itu. Ibnu Arabi mendakwa bahawa Nabi Musa a.s. telah mengenal al-Haq dan mengancam as-Samiri kerana membataskan tuhan hanya kepada satu benda sahaja, Sedangkan ain sesuatu itu ialah ain tuhan itu sendiri, iaitulah Ain al-Haq! Mengenai ini Ibnu Arabi menegaskan:

“Kemudian Harun telah berkata kepada Nabi Musa a.s. : Sesungguhnya aku takut engkau akan berkata kepada aku : Engkau telah memecahbelahkan Bani Israel (seperti mana firman Allah di dalam surah Thoha, ayat 94 -penulis) dan engkau menjadikan aku sebagai penyebab pecah belah mereka. Sebenarnya penyembahan terhadap patung anak lembu itulah yang telah memecahbelahkan mereka. Di antara mereka ada yang menyembahnya mengikuti perbuatan as-Samiri dan menirunya. Ada yang tidak menyembahnya sehingga Nabi Musa a.s. datang semula kepada mereka dan mereka menanyakannya mengenai perkara itu. Harun a.s takut pecah belah mereka dikatakan berpunca darinya.


Nabi Musa a.s. lebih mengetahui perkara itu daripada Harun, kerana tahu apa yang disembah oleh penyembah-penyembah patung anak lembu itu. Sebab menurut pengetahuannya, Allah telah memerintahkan supaya tidak disembah melainkan Dia… Allah tidak memerintahkan dengan sesuatu melainkan ianya berlaku… kecaman Nabi Musa a.s. ke atas saudaranya Harun itu ialah kerana pengingkaran Harun terhadap perbuatan Bani Israel menyembah patung anak lembu dan kerana kekurangan pengetahuannya. Sesungguhnya orang yang arif itu ialah siapa yang melihat al-Haq pada segala sesuatu, bahkan melihatnya pada ain setiap sesuatu.” (Fususul Hikam, halaman 192).

Di sini jelas kepada para pembaca bahawa Ibnu Arabi mendakwa Nabi Musa a.s. mengetahui penyembah-penyembah patung anak lembu itu sebenarnya menyembah Allah kerana Allah telah berfirman : “وَقَضَى رَبُّكَ أَلاَّ تَعْبُدُواْ إِلاَّ إِيَّاهُ” (Surah Al-Isra’, Ayat 23) Maksudnya lebih kurang: “Dan Tuhanmu telah memerintahkan jangan kamu menyembah melainkan Dia.” Ibnu Arabi telah menjadikan perintah ini sebagai suatu perintah menyembah seluruh alam buana mengikut yang telah ditetapkan, dan bahawa Allah tidak memerintahkan dengan sesuatu melainkan ianya tetap berlaku. Menurut Ibnu Arabi, ini bererti bahawa setiap ma’bud (yang disembah) di muka bumi ialah Allah, dan manusia tidak menyembah sesuatu seperti batu atau sebagainya melainkan ia menyembah Allah dengan berdasarkan kepada lafaz “qada” yang bererti “telah memerintahkan” yang mana ini adalah hukum syarak!

Ibnu Arabi mengakhiri ungkapannya tadi dengan menyebut: “Orang yang arif ialah yang melihat al-Haq pada segala sesuatu bahkan melihatnya pada ain setiap sesuatu.” Inilah kemuncak aqidah tasawuf. Istilah “al-Haq” menurut dakwaan Ibnu Arabi dan konco-konconya ialah Allah sendiri!

Ibnu Arabi telah menghuraikan aqidahnya yang salah itu dengan menyelewengkan maksud firman Allah Ta’ala: “فَمَا خَطْبُكَ يَا سَامِرِيُّ” (Surah Thoha, 95) Maksudnya lebih kurang: “Bagaimana halmu, wahai Samiri?” Menurut Ibnu Arabi erti ayat ini ialah mengapa engkau khususkan anak lembu saja sebagai tuhan, sedangkan aqidah ini menganjurkan bahawa segala-gala itu ialah Allah? Kerana itulah Nabi Musa a.s. membakar patung anak lembu itu agar gambaran tuhan tidak terbatas pada satu benda sahaja! Nabi Musa a.s. telah berkata kepadanya: “وَانظُرْ إِلَى إِلَهِكَ” (Surah Thoha, ayat 97) Maksudnya lebih kurang: “Dan lihatlah kepada tuhanmu!” Nabi Musa a.s. menamakan patung anak lembu itu tuhan untuk menyedarkan as-Samiri dengan tujuan mengajarnya bahawa patung anak lembu itu ialah sebahagian dari gambaran-gambaran nyata Ilahi.” (Fususul Hikam, halaman 192)

Selepas memberikan tafsiran yang salah lagi menyesatkan mengenai cerita Nabi Musa a.s. dengan saudaranya Harun dan as-Samiri dengan patung anak lembu ciptaannya itu, Ibnu Arabi menyentuh pula perbuatan dan amalan kaum musyrikin Quraisy yang menyembah berhala dan patung-patung di Kota Mekah. Orang-orang kafir Quraisy itu telah memberi alasan terhadap perbuatan mereka tersebut seperti mana yang difirmankan oleh Allah: ” مَا نَعْبُدُهُمْ إِلَّا لِيُقَرِّبُونَا إِلَى اللَّهِ زُلْفَى” (Surah az-Zumar, Ayat 3) Maksudnya lebih kurang: “Kami tidak menyembahnya melainkan supaya menghampirkan kami kepada Allah dengan sehampir-hampirnya”. Ibnu Arabi mendakwa kaum musyrikin Quraisy itu tidak mengingkari Allah, sebaliknya mengkagumi-Nya.


Kerana mereka berdiri tegak bersama-sama dengan gambaran-gambaran dan rupa-rupa bentuk yang mereka namakan tuhan-tuhan. Beliau juga mendakwa Rasulullah s.a.w datang menyeru kaum musyrikin Quraisy itu menyembah tuhan yang dikenali dengan sifat-sifatnya sahaja, bukan yang boleh disaksikan dengan mata kepala! Kata Ibnu Arabi: “Dia (iaitu Rasulullah s.a.w) telah menyeru supaya disembah tuhan yang menjadi tumpuan segala permohonan dan yang diketahui secara ringkas, tidak boleh disaksikan dan tidak ditanggap pandangan.

Ia halus dan mengalir pada ain segala benda, tidak dapat ditanggap penglihatan. Ianya maha halus, lagi maha mengetahui. Pengetahuan itu adalah citarasa, dan citarasa itu ialah Tajalli (keserlahan), dan tajalli dalam rupa-rupa bentuk itu adalah suatu kemestian. Siapa yang melihatnya mesti menyembahnya dengan sepenuh keberahian, jika anda faham ………..” Kemudian dengan mengejek mereka yang tidak memahami kata-katanya itu Ibnu Arabi berkata: “Kepada Allah segala tujuan.” (Fususul Hikam, halaman 192)

No comments: